GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Mohamed Farid Noh

MALANG bagi seorang kanak-kanak perempuan berusia dua tahun apabila meninggal dunia dipercayai didera ibu kandung dan teman lelakinya, tengah hari semalam.

Mangsa meninggal dunia kira-kira jam 12.10 tengah hari ketika sedang dirawat di Hospital Sultan Ismail (HSI) di Johor Bahru, akibat jangkitan kuman.

Ketua Polis Daerah Johor Bahru Utara, Asisten Komisioner Mohd Taib Ahmad, berkata doktor yang merawat kanak-kanak itu mengesyaki terdapat unsur penderaan berdasarkan kecederaan fizikal yang dialami mangsa.

Katanya, pemeriksaan fizikal ke atas mangsa mendapati kesan lebam di tangan kiri dan kanan selain bahagian perut.

"Terdapat juga kesan gigitan di bahagian tangan kiri dan kanan mangsa, " katanya dalam kenyataannya, hari ini.

Mohd Taib berkata, kanak-kanak itu dimasukkan ke HSI kira-kira jam 10.40 pagi Ahad lalu oleh ibunya yang berusia 22 tahun berikutan masalah jangkitan kuman yang serius.

Katanya, bedah siasat yang dijalankan ke atas mangsa mendapati beberapa siri kecederaan pada badan mangsa.

"Hasil bedah siasat mendapati punca kematian mangsa adalah disebabkan kecederaan pada tengkorak dan usus akibat hentakan objek tumpul (cranioabdominal injuries due to blunt force trauma).

"Bertindak atas laporan bedah siasat itu, polis mempercayai kematian mangsa adalah berunsurkan jenayah dan membuat tangkapan ke atas ibu kandung mangsa dan teman lelakinya yang berusia 33 tahun, kira-kira jam 3.54 pagi tadi, "katanya.

Beliau berkata, siasatan awal mendapati wanita berkenaan yang bekerja sebagai operator kilang dan teman lelakinya yang tidak bekerja itu sudah lebih setahun menyewa bersama di bilik sebuah pangsapuri di Kempas.

Menurutnya, kanak-kanak itu berada di bawah jagaan teman lelaki ibu mangsa setiap kali dia keluar bekerja.

Mohd Taib berkata, kedua suspek itu direman tujuh hari bermula hari ini dan disiasat mengikut Seksyen302 Kanun Keseksaan kerana membunuh yang memperuntukkan hukuman mati mandatori jika sabit kesalahan.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 14 January 2020 @ 9:15 PM