FOTO HIASAN
FOTO HIASAN
Nurul Fatihah Sulaini


Besut: Bayi lelaki berusia setahun lima bulan di sini, maut dipercayai didera oleh teman lelaki kepada ibu mangsa.

Ketua Polis Daerah Besut, Superintendan Abdul Rozak Muhammad berkata, polis menerima laporan dari Klinik Kesihatan Kampung Raja di sini, pada 8 November, yang memaklumkan mangsa meninggal dunia di klinik itu.

Beliau berkata, pihak klinik sebelum itu mendapati mangsa dalam keadaan tidak sedarkan diri serta mempunyai kesan lebam di beberapa anggota badan.

"Susulan itu, tangkapan dibuat ke atas ibu kanak-kanak berusia 27 tahun yang juga ibu tunggal. Dia ditahan untuk membantu siasatan dan akan direman hari ini.

"Pihak polis juga sedang mengesan rakan lelaki suspek," katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Rozak berkata, siasatan mendapati kanak-kanak itu dipercayai diserahkan kepada seorang rakan lelaki ibunya, untuk dijaga, kira-kira 4 petang, 7 November lalu dan dihantar semula kepada ibu mangsa, 7.30 pagi, pada 8 November lalu.

Dalam pada itu, beliau berkata, berdasarkan hasil laporan bedah siasat, punca kematian mangsa adalah disebabkan kebocoran usus kecil.

"Bagaimanapun punca kebocoran usus belum dapat dipastikan sama ada disebabkan trauma atau jangkitan kuman serta memerlukan sampel untuk dihantar ke makmal.

"Kes disiasat di bawah Seksyen 31 (1) Akta kanak-kanak 2001 iaitu penganiayaan, pengabaian, pembuangan atau pendedahan kanak-kanak yang boleh disabitkan denda tidak melebihi RM 20,000 atau boleh dipenjara tidak melebihi 10 tahun atau keduanya.

"Orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kes boleh menghubungi ibu Pejabat Polis Daerah Besut di talian 09-6956222," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 9 November 2023 @ 9:53 AM