Siti A’isyah Sukaimi


“KITA mendedahkan perkara ini kepada umum kerana ia kepentingan awam. Kita tidak mahu tindakan yang mencabar kewibawaan badan bebas seperti SPRM dan Jabatan Peguam Negara,” kata Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Latheefa Koya.

Hari ini, SPRM mendedahkan sembilan audio konspirasi jenayah tertinggi membabitkan rakaman perbualan beberapa individu termasuk bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak.

Selain Najib, perbualan suara itu turut membabitkan isteri beliau, Datin Seri Rosmah Mansor; bekas Ketua Pesuruhjaya SPRM Tan Sri Dzulkifli Ahmad; bekas Pengerusi Lembaga Tabung Haji Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim dan bekas pegawai khas Najib, Datuk Amhari Efendi Nazaruddin.

Individu lain pada rakaman perbualan itu membabitkan Putera Mahkota Emiriah Arab Bersatu Sheikh Mohammed Zayed Al Nahyan dan Ketua Eksekutif Mubadala Development Company (MDC) Khaldoon Al-Mubarak.

Rakaman audio itu didedahkan kepada umum dan diperdengarkan kira-kira 45 minit menerusi sidang media oleh Latheefa di Putrajaya, hari ini.

LATHEEFA ketika sidang media khas konspirasi jenayah peringkat tertinggi di Putrajaya. Turut kelihatan Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Datuk Seri Azam Baki (kiri) dan Pengarah Bahagian Dasar, Perancangan, Penggubahan Wang Haram (AMLA), Mohamad Zamri Zainul Abidin. FOTO Mohd Fadli Hamzah
LATHEEFA ketika sidang media khas konspirasi jenayah peringkat tertinggi di Putrajaya. Turut kelihatan Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Datuk Seri Azam Baki (kiri) dan Pengarah Bahagian Dasar, Perancangan, Penggubahan Wang Haram (AMLA), Mohamad Zamri Zainul Abidin. FOTO Mohd Fadli Hamzah

Latheefa berkata, rakaman audio itu diterima pihaknya beberapa hari lalu membabitkan salah guna kuasa, konspirasi jenayah berhubung skandal mega SRC International dan 1Malaysian Development Berhad (1MDB).

Katanya, selepas menerima rakaman itu, pihaknya menghantarnya kepada forensik bagi mengenal pasti suara setiap individu terbabit.

“Dokumen rahsia ini dikongsikan (menerusi perbualan itu) dan ini jelas mencabar kewibawaan. Sebab itu bagi kami penting untuk didedahkan untuk kepentingan awam,” katanya.

Pada masa sama, beliau berkata, dokumen berkenaan akan diserahkan kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk disiasat dan pihak SPRM juga akan menjalankan siasatan.

“Saya sudah arahkan pegawai saya mengambil tindakan sepatutnya dan menyerahkan rakaman ini kepada pihak berkuasa untuk menjalankan siasatan selanjutnya. Kita tidak mendedahkan penghantar rakaman ini atas faktor keselamatan.

“Kita percaya apa yang saya katakan tadi wujud salah guna kuasa, jelas menutup konspirasi jenayah jadi, kita percaya ini memerlukan kepada siasatan serius.

“Terdapat elemen rasuah tetapi majoriti daripada kesalahan berkaitan di bawah Kanun Keseksaan jadi, kita menyerahkan kepada polis memulakan siasatan,” katanya.

Ditanya sama ada pendedahan audio itu memberi kesan kepada kes yang sedang berjalan di mahkamah, Latheefa menjelaskan ia untuk kepentingan awam.

“Saya tidak melihat ia akan memberi kesan dan ini adalah kepentingan awam membabitkan keselamatan negara yang serius.

“Jadi saya tak lihat bagaimana ia tidak boleh dikongsi dan memberi prejudis terhadap kes sedang berjalan. Tambahan pertuduhan berkaitan rakaman ini pula, kita akan menunggu siasatan terlebih dulu,” katanya.

Berita berkaitan

SPRM dedah rakaman audio 'mengejutkan'


Pendedahan SPRM : Rakaman perbualan 1


Pendedahan SPRM : Rakaman perbualan 2


Pendedahan SPRM : Rakaman perbualan 3


Pendedahan SPRM : Rakaman perbualan 4


Pendedahan SPRM : Rakaman perbualan 5


Pendedahan SPRM : Rakaman perbualan 6


Pendedahan SPRM : Rakaman perbualan 7


Pendedahan SPRM : Rakaman perbualan 8


Pendedahan SPRM : Rakaman perbualan 9

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 8 January 2020 @ 2:18 PM