Mohd Fauzi Abdullah dan Teoh Pei Ying

SIASATAN dijalankan Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) terhadap mantan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak berhubung penyelewengan, rasuah dan skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB) antara kes paling hangat sepanjang 2018.

Ramai berpendapat kes berprofil tinggi yang bukan saja menggemparkan negara malah masyarakat global itu hanya boleh disiasat selepas kekalahan Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14), 9 Mei lalu.

Ia menjadi sejarah dan kes paling ‘dinanti-nanti’ kerana belum pernah seorang bekas Perdana Menteri disiasat atas tuduhan ‘besar’ seperti dihadapi Najib.

Bermula pada 16 Mei, serbuan dilakukan polis di kediaman Ahli Parlimen Pekan itu di Jalan Langgak Duta, Taman Duta dan merampas beberapa dokumen.


Pada 17 Mei, anggota Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman menyerbu tiga unit kondominium di Pavilion Residences yang mempunyai kaitan dengan Najib dan merampas 72 beg mengandungi wang tunai berjumlah RM114 juta.


Semua wang tunai itu ditemui diletakkan di dalam 35 daripada 72 beg yang dirampas polis.

Pengarah JSJK Bukit Aman ketika itu, Datuk Seri Amar Singh Ishar Singh berkata, wang tunai dirampas itu membabitkan 26 jenis mata wang termasuk ringgit Malaysia, dolar Singapura dan dolar Amerika.


Katanya, baki 37 beg lagi mengandungi barang kemas dan jam tangan berjenama terkemuka.

JSJK turut melakukan pemeriksaan serentak iaitu di Pejabat Perdana Menteri (bekas Perdana Menteri) dan kediaman rasmi bekas Perdana Menteri di Putrajaya.

Pada 22 Mei, Najib kali pertama hadir ke Ibu Pejabat SPRM di Putrajaya untuk memberi keterangan berhubung siasatan kes SRC International iaitu anak syarikat 1MDB.

Beliau kemudian turut dipanggil beberapa kali lagi untuk dirakam percakapan oleh SPRM dan JSJK berhubung siasatan kes berkenaan.


Pada 5 Jun isterinya, Datin Seri Rosmah Mansor turut dipanggil SPRM untuk memberikan keterangan buat kali pertama bagi membantu siasatan kes berkenaan disusuli anak tirinya, Riza Aziz pada 3 Julai.


Kes pembunuhan pensyarah Universiti Kuala Lumpur British Malaysian Institute (UniKL BMI), Dr Fadi M R AlBatsh Fatma, 35, turut menggemparkan negara.

Ketika kejadian jam 6 pagi pada 21 April, mangsa yang juga imam warga Palestin ditembak lebih 10 das di depan kediamannya di Kondominium Idaman Puteri, Jalan Meranti, Medan Idaman, Setapak ketika dalam perjalanan ke surau berhampiran.


Mangsa dilaporkan ditembak suspek iaitu dua lelaki dipercayai warga asing menaiki motosikal jenis Kawasaki Versys, sebelum melarikan diri dan meninggalkan kenderaan itu di Jalan Danau Niaga, Danau Kota.


Pembunuhan itu dilakukan secara terancang dan profesional yang dipercayai didalangi ejen Agensi Perkhidmatan Rahsia Israel iaitu Mossad.


Kematian Ketua Pegawai Eksekutif Cradle Fund Sdn Bhd, Nazrin Hassan, 47, dalam kebakaran di rumahnya di Mutiara Homes, Petaling Jaya, Selangor, jam 12.20 tengah hari pada 14 Jun terus menimbulkan tanda tanya apabila kes yang pada mulanya diklasifikasikan sebagai mati mengejut dibuka semula polis mengikut Seksyen 320 Kanun Keseksaan kerana bunuh.

Sehingga kini, polis sudah merakam keterangan beberapa individu yang bersaudara dengan mangsa termasuk balu, Samirah Muzaffar, 43, dan anak tirinya berusia 14 serta 16 tahun untuk membantu siasatan, tetapi dibebaskan.

Kubur Allahyarham Nazrin di Tanah Perkuburan Islam, Seksyen 9, Kota Damansara, digali semula pada 8 Oktober dan jasadnya dibawa ke Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) bagi membolehkan bedah siasat kali kedua dijalankan.


Ancaman keganasan terus dipatahkan apabila 10 individu disyaki terbabit kumpulan pengganas ditahan Bahagian Counter Terrorism Cawangan Khas PDRM dalam operasi di Selangor, Pahang, Johor, Terengganu, Melaka, Kelantan dan Pulau Pinang sejak 11 Ogos hingga 31 Ogos.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 27 Disember 2018 @ 8:30 AM