BAYI yang ditinggalkan ibunya di hospital kerana tak mampu membayar kos rawatan. FOTO Ihsan JKM
BAYI yang ditinggalkan ibunya di hospital kerana tak mampu membayar kos rawatan. FOTO Ihsan JKM
Shamsul Munir Safini


TINGGALKAN bayi di hospital kerana tak mampu bayar kos rawatan. Itu tindakan terdesak seorang wanita warga Rohingya yang meninggalkan bayi lelaki baru dilahirkan di Hospital Seberang Jaya (HSJ), Bukit Mertajam, Julai lalu.

Ibu bayi berkenaan Nur Begum Muhammad Sultan, 11, seorang pelarian Rohingya dan memegang kad UNHCR meninggalkan bayi lelaki berkenaan kerana keadaan kesihatan bayi dan bayaran yang perlu dijelaskannya.

Pegawai Pelindung Kanak-Kanak Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Pulau Pinang, Mohd Noor Ahmad berkata, bayi berkenaan yang dilahirkan pada 25 Julai di HSJ itu dilahirkan dalam keadaan pramatang dan ditempatkan di Unit Rawatan Rapi Neonatal (NICU) kerana mengalami komplikasi kesihatan.

Menurutnya, selepas dilahirkan dia mengalami komplikasi buah pinggang dan paru-paru sebelum ditempatkan di NICU, HSJ sejak dilahirkan.

“Susulan itu JKM negeri memohon kerjasama orang ramai untuk mengesan ibu kepada bayi berusia lima bulan berkenaan.

“Selepas bayinya dilahirkan, wanita berkenaan dibenarkan pulang ke rumah, namun dia tidak lagi ditemui dan dapat dihubungi sehingga hari ini,” katanya.

Menurutnya, di daerah ini ada beberapa kes membabitkan warga asing yang meninggalkan bayi mereka di hospital Kerajaan sebaik dilahirkan.

Katanya, kebanyakan mereka mengambil tindakan melarikan diri sejurus selepas itu kerana bimbang dengan bayaran yang akan dikenakan selain keadaan bayi yang tidak sihat.

“Sama seperti bayi ini, dia tidak sihat dan mengalami beberapa komplikasi seperti buah pinggang dan paru-paru kerana dilahirkan tidak cukup umur.

“Kebanyakan mereka (bayi) ini juga mengalami kesukaran untuk diambil sebagai anak angkat, kerana masalah kesihatan dialami. Kebanyakan mereka akan dijaga JKM sepanjang usia mereka,” katanya.

Menurutnya, sesiapa yang mempunyai sebarang maklumat berkaitan bayi ini diminta untuk menghubungi Mohd Noor di talian 04-5382584.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 20 Disember 2019 @ 4:26 PM