Mikhayla Aafiyah sudah hampir 10 bulan terlantar di wad Hospital Serdang, Selangor. FOTO Ihsan Abdul Muhaimin Muhammad Farid
Mikhayla Aafiyah sudah hampir 10 bulan terlantar di wad Hospital Serdang, Selangor. FOTO Ihsan Abdul Muhaimin Muhammad Farid
Redzuan Muharam


Besut: Ketika bapa lain dapat bermanja dengan anak kesayangan, lain pula kisah Abdul Muhaimin Muhammad Farid apabila berjauhan dengan anak tunggalnya, Mikhayla Aafiyah yang hampir sembilan bulan ditahan wad akibat penyakit cystic hygroma iaitu gejala abnormal pada leher atau kepala bayi.

Lebih menyedihkan, Mikhayla Aafiyah yang mendapat rawatan di Hospital Serdang, Selangor juga disahkan menghidap jantung berlubang, injap jantung sempit dan paru-paru kronik.

Keadaan itu menyebabkan Mikhayla Aafiyah tidak seperti bayi seusianya kerana hanya terlantar di atas katil wad sejak lahir.

Malah, Abdul Muhaimin, 34, pernah terfikir untuk berhenti kerja sebagai guru Kelas Agama dan Fardu Ain (Kafa), tetapi melupakan hasrat itu kerana menyedari kesukaran mendapat pekerjaan lain ketika ini.

Maka, dia hanya dapat melepaskan rindu dengan berulang-alik dari Terengganu ke Hospital Serdang pada hujung minggu untuk bertemu Mikhayla Aafiyah dan isterinya, Nur Amirah Muhamad Suhaimi, 31, yang menjaga anak mereka di wad.

Berkongsi perihal Mikhayla Aafiyah, Abdul Muhaimin yang juga imam sambilan berkata, anaknya dilahirkan pada 27 Januari lalu dan dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi Neonatal (NICU) untuk pemantauan selepas dilahirkan.

Menurutnya, ia berikutan keadaan Mikhayla Aafiyah yang mengalami masalah pernafasan selepas dilahirkan hingga terpaksa menggunakan alat bantuan pernafasan.

Katanya, keadaan isteri dan anak dalam kandungan baik pada peringkat awal tanpa sebarang masalah kecuali alahan.

"Bagaimanapun, ketika kandungan berusia 27 minggu iaitu selepas melakukan pemeriksaan terperinci di sebuah klinik swasta, kami diberitahu doktor bahawa ada kantung cecair di belakang leher bayi.

"Doktor syak anak kami mengalami sindrom down dan hasil pemeriksaan lanjut di Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) juga mendapati ada kantung cecair.

"Kami diberitahu bayi yang akan dilahirkan berkemungkinan menghidap cystic hygroma, sindrom down atau sindrom Turner (bertubuh pendek)," katanya ketika dihubungi Harian Metro.

Walaupun cuba menguatkan diri, Abdul Muhaimin mengakui air matanya gugur selepas melihat wajah Mikhayla Aafiyah kebiruan dalam NICU hingga badan rasa lemah kerana kasihan melihat keadaan anaknya.

"Isteri saya belum melihat bayi ketika itu kerana dia masih berada di wad bersalin dan saya ambil masa sehari untuk memberitahunya keadaan anak.

"Remuk juga hati apabila doktor awalnya kata tiada ubat untuk merawat anak, namun saya cuba tenangkan diri dengan buat solat hajat serta mohon kepada Allah supaya anak diberi kesembuhan," katanya.

Sekalipun Mikhayla Aafiyah belum sembuh, Abdul Muhaimin bersyukur kerana Allah SWT masih memberi peluang untuk anaknya bernafas sehingga hari ini.

Menurutnya, doktor memaklumkan Mikhayla Aafiyah perlu menjalani pembedahan jantung di Hospital Serdang, namun masih menunggu kekosongan.

"Apa boleh saya katakan, anak saya sangat kuat kerana sejak dilahirkan sampai ke hari ini sudah menjalani tiga kali pembedahan.

"Dua kali pembedahan 'severe laryngomalacia' atau meluaskan saluran pernafasan dan sekali lagi pembedahan 'tracheostomy' untuk menebuk dan memasukkan tiub di leher.

"Setiap kali sebelum pembedahan, doktor mengatakan Mikhayla Aafiyah ada risiko untuk meninggal dunia ketika pembedahan, malah sepanjang tempoh itu juga empat kali anak saya ditidurkan," katanya.

Melihat semangat Mikhayla Aafiyah mendorong Abdul Muhaimin berpesan kepada isteri supaya tidak berputus asa dan malu dengan anak mereka yang kuat berjuang untuk terus hidup.

Sebagai bapa, Abdul Muhaimin berharap semoga ada keajaiban untuk anaknya diberi kesembuhan, dibenarkan keluar dari wad seterusnya menjalani kehidupan sama seperti kanak-kanak lain.

"Ujian ini membuatkan saya sedar yang menjaga anak istimewa bukan sekadar memerlukan wang banyak, tetapi juga emosi dan mental yang kuat.

"Terima kasih kepada keluarga, rakan dan semua yang memberikan sumbangan, mendoakan kesihatan anak saya serta memberi semangat untuk terus berjuang menjaga si kecil ini," katanya.

Orang ramai yang berhasrat membantu boleh menyalurkan sumbangan ke akaun Maybank bernombor 563046362834 atau CIMB bernombor 7610846240 atas nama Abdul Muhaimin Muhammad Farid.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 7 November 2023 @ 6:41 PM