Syaherah Mustafa

Kota Bharu: Persediaan yang hanya dilakukan selama dua hari tidak menjadi penghalang buat kumpulan dikir barat Langgam Kesuma untuk memenangi tempat pertama dalam Pertandingan Dikir Barat di Karnival Jom Heboh (KJH) BABA'S di Pusat Transformasi Luar Bandar (RTC) Tunjung, di sini, hari ini.

Ketua kumpulan Langgam Kesuma, Mohd Faizul Ya, berkata mereka mengambil keputusan untuk menyertai pertandingan itu memandangkan KJH BABA'S julung kalinya diadakan di Kelantan selain menganggap ia adalah satu platform terbaik untuk mengetengahkan kumpulan mereka.

Katanya, mereka tidak menyangka dinobatkan sebagai johan kerana dalam tempoh masa dua hari saja mereka menyiapkan lirik, irama serta gaya persembahan khas untuk pertandingan berkenaan.

"Persaingan agak sengit kerana kumpulan lain juga membuat persembahan secara menarik dan kreatif. Kami membabitkan 20 ahli kumpulan bagaimanapun terus melakukan yang terbaik agar dapat menarik perhatian juri yang ada.

"Sebelum ini kami sering menyertai pertandingan dikir barat namun kali ini semangat agak berbeza memandangkan ia membabitkan KJH yang juga sebuah karnival besar dianjurkan Media Prima.

"Kami semua membuat persembahan secara santai tanpa sebarang tekanan selain teruja dengan ramai penonton yang mengunjungi KJH," katanya.

Kumpulan dikir barat  Langgam Kesuma memenangi tempat pertama dalam Pertandingan Dikir Barat di Karnival Jom Heboh (KJH) BABA'S di Pusat Transformasi Luar Bandar (RTC) Tunjung. FOTO NIK ABDULLAH NIK OMAR
Kumpulan dikir barat Langgam Kesuma memenangi tempat pertama dalam Pertandingan Dikir Barat di Karnival Jom Heboh (KJH) BABA'S di Pusat Transformasi Luar Bandar (RTC) Tunjung. FOTO NIK ABDULLAH NIK OMAR

Mohd Faizul juga dinobatkan sebagai Tukang Karut terbaik termasuk rakan sepasukan, Mohd Syaeizatt Hakim Zainordin, yang diumumkan sebagai Tok Juara Terbaik.

Katanya, idea penganjur untuk mengadakan pertandingan dikir barat adalah sangat tepat memandangkan ia adalah seni kebudayaan tradisional rakyat Kelantan.

"Selain itu, secara tidak langsung kita dapat mengetengahkan budaya seni ini dengan lebih meluas serta terus memartabatkan dikir barat di peringkat tertinggi

"Semoga pengisian persembahan kami juga memberi manfaat kepada pengunjung kerana melalui dikir barat kami turut menyampaikan ilmu dan nasihat," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 9 September 2023 @ 3:21 PM