NUR Letrah Shahira tiba lewat ke majlis konvokesyen kerana  kematian bapa saudaranya. FOTO Ihsan UiTM Johor
NUR Letrah Shahira tiba lewat ke majlis konvokesyen kerana kematian bapa saudaranya. FOTO Ihsan UiTM Johor
Alias Abd Rani


“KAMI nak tengok juga dia naik ke pentas, sebab itu kami cuba lakukan apa jua sekalipun, termasuk melengah-lengahkan majlis (konvokesyen) supaya dia sempat naik (mengambil diploma),” kata Pegawai Istiadat Konvokesyen, Kapten (B) Ujud Tabil.

Ujud memberi reaksi itu susulan seorang graduan yang juga penerima Anugerah Naib Canselor, Nur Letrah Shahira Shaharum masih dalam perjalanan dari Selangor ke Universiti Teknologi Mara (UiTM) cawangan Segamat, Johor, selepas kematian bapa saudaranya.

Pada hari Konvokesyen UiTM Segamat yang berakhir semalam, graduan Diploma Perakaunan itu sepatutnya menerima anugerah berkenaan sebaik sesi terakhir bermula, namun disebabkan berlaku kematian penjaganya itu, dia lewat tiba di Dewan Sri Temenggong universiti itu.

Sebaik mendapat tahu perkara itu, Jawatankuasa Induk Majlis Konvokesyen UiTM Ke-91 bersepakat untuk melengah-lengahkan majlis, termasuk meletakkan nama Nur Letrah Shahira disenarai terakhir bagi membolehkannya sempat naik ke pentas konvokesyen.

Menceritakan detik menyedihkan ini, Ujud berkata, semua bertugas pada hari terbabit memainkan peranan masing-masing, termasuk memperdengarkan lebih banyak lagu supaya majlis berlangsung lebih lama.

Menurutnya, majlis sepatutnya berakhir pada 4 petang dan ketika itu Nur Letrah Shahira dalam perjalanan dan sebaik dia tiba di pintu utama, kenderaan keselamatan UiTM mengiringinya hingga ke Dewan Sri Temenggong.

“Dalam keadaan tergesa-gesa kami lakukan sebaik mungkin dan nama dia diletakkan sebagai graduan terakhir pada hari itu. Ketika itu, MC (pengerusi majlis) menyebut namanya selaku penerima anugerah itu.

“Waktu itu, kami semua hanya menitiskan air mata kerana kami tahu apa yang berlaku ke atasnya hinggalah dia berjaya naik ke pentas,” katanya yang juga Pegawai Kokurikulum UiTM Segamat.

NUR Letrah Shahira menerima Anugerah Naib Canselor daripada Pro Canselor UiTM, Tan Sri Zarinah Anwar. FOTO Ihsan UiTM Johor
NUR Letrah Shahira menerima Anugerah Naib Canselor daripada Pro Canselor UiTM, Tan Sri Zarinah Anwar. FOTO Ihsan UiTM Johor

Kisah terbabit kemudian dikongsikan dalam Facebook Ujud hingga mendapat perhatian netizen dan tidak kurang yang memuji tindakan diambil UiTM Segamat pada hari itu.

Antaranya: “Memang sebak masa dia melangkah menuju ke arah Pro Cans. Dia kesat air mata. Sempat senyum masa ucap terima kasih pada Pro. Selepas dia melangkah meninggalkan pentas sempat En Meor bisik pada Pro Cans tentang hal sebenar.

“Wajah Pro Cans serta merta berubah sedih dan dia menoleh pada graduan yang masa tu dah tiba ke hujung pentas. Apapun terbaik Tuan Ujud dan jawatankuasa induk. Sangat prihatin. Tahniah team konvo UiTM Johor.

“Terbaik... pertolongan yang memberi kenangan seumur hidup kepada graduan tersebut.. tahniah. Allahu, sebaknyer... patut tengok kenapa tiga lagu... kenapa nama N dia last ambil... terjawab persoalan saya... Tahniah team konvo UiTM Johor.”

Sementara itu, Ujud berkata, Nur Letrah Shahira yang sudah ketiadaan ibunya dan dijaga bapa saudaranya adalah graduan terbaik sepanjang menuntut di universiti itu.

“Setiap semester, dia menerima Anugerah Dekan kerana berjaya mencatat PMK terbaik. Walaupun kami tidak mengenalinya lebih dekat, tapi kami perlu memastikan dia naik pentas meskipun kehilangan insan tersayang,” katanya.

NUR Letrah Shahira. FOTO Ihsan UiTM Johor
NUR Letrah Shahira. FOTO Ihsan UiTM Johor

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 24 Oktober 2019 @ 10:41 PM