GRADUAN UTM gembira selepas menerima ijazah masing-masing.
GRADUAN UTM gembira selepas menerima ijazah masing-masing.
Oleh Fazurawati Che Lah


Majlis Konvokesyen Universiti Teknologi Malaysia (UTM) Kali Ke-63 (MK63) meraikan 4,390 graduan dengan menyaksikan dua tokoh negara dikurniakan Anugerah Kehormat manakala seorang lagi mendapat penganugerahan Profesor Emeritus.

MK63 bermula Sabtu lalu sehingga esok (5 November) bertempat di Dewan Sultan Iskandar, UTM Kampus Johor Bahru, Johor.

Istiadat itu disempurnakan Canselor UTM, Tuanku Permaisuri Johor, Raja Zarith Sofiah Sultan Idris Shah dan Pro-Canselor UTM iaitu Tan Sri Siti Sa’diah Syed Bakir.

Naib Canselor UTM, Prof Datuk Ir Dr Wahid Omar berkata, berdasarkan data kebolehpasaran graduan UTM, pada 2018 merekodkan 90.3 peratus atau bersamaan 190,000 alumni kini berada pelosok dunia untuk menyumbang kepada kesejahteraan sejagat.

“Ekosistem pembelajaran dan pengajaran di universiti mendedahkan penuntut kepada pelbagai kemahiran termasuk keusahawanan serta menjadi satu daripada penyumbang kepada kecemerlangan graduan UTM.

“Ini dibuktikan baru-baru ini, satu badan penilai bebas dari Amerika Syarikat, US News meletakkan UTM pada kedudukan kedua terbaik di Malaysia dan di tempat ke-40 terbaik di dunia bagi program kejuruteraan,” katanya.

Wahid mengucapkan tahniah kepada semua graduan dan berharap mereka akan mencurahkan pengetahuan, pengalaman serta kepakaran dalam perkhidmatan di alam pekerjaan nanti bagi meneruskan kegemilangan UTM.

Istiadat kali ini menyaksikan enam persidangan apabila MK63 mengurniakan Anugerah Kehormat kepada Presiden dan Ketua Eksekutif KLIA Premier Holdings Sdn Bhd, Tan Sri Datuk Dr Ir Jamilus Hussein dan Pengarah University Technology Centres dari Imperial College London, Prof Dr Ricardo F Martinez-Botas serta gelaran Profesor Emeritus kepada mantan Naib Canselor UTM, Tan Sri Datuk Dr Mohd Zulkifli Mohd Ghazali.

Penganugerahan diteruskan dengan graduan Ijazah Doktor Falsafah (275), Ijazah Sarjana (786), Ijazah Sarjana Muda (2,854) dan Diploma (475).

Daripada jumlah itu, 257 graduan antarabangsa dari lebih 30 negara turut dianugerahkan ijazah dengan bilangan graduan tertinggi dari Nigeria, Iran dan Pakistan.

Sekolah Kejuruteraan Elektrik yang mempunyai jumlah graduan tertinggi iaitu 385 orang, diikuti dengan Sekolah Kejuruteraan Mekanikal (366 orang) dan Sekolah Kejuruteraan Awam di tempat ketiga dengan 358 orang graduan.

MK63 turut menghargai kecemerlangan akademik mahasiswa dengan pelbagai anugerah seperti Anugerah Canselor, Anugerah Pro-Canselor, Anugerah Pelajaran Diraja serta Anugerah Airasia yang julung kalinya diberi.

Lebih manis, MK63 juga menyaksikan kejayaan luar biasa pelajar UTM iaitu graduan Doktor Falsafah warga emas dari Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan iaitu Dr Zulkifli Ab Latiff yang menamatkan pengajian pada usia 63 tahun, atlet bola jaring negara iaitu Nurfariha Abdul Razak yang menerima Anugerah Cemerlang Pingat Emas Tun Fatimah serta Tokoh Siswa Kebangsaan 2018, Muhamad Syafik Rahmat.

Sementara itu, acara terbesar MK63 iaitu Festival Konvokesyen (FESKO) Ke-63 disambut meriah apabila menyaksikan pembabitan mahasiswa seramai 89 orang sebagai sekretariat dalam pelaksanaan FESKO kali ini.

Pengarah program, Nur Liyana Nabihah Yusof berkata, penganjuran kali ini amat istimewa kerana sekretariat terdiri daripada pelbagai latar belakang berbeza, kaum, fakulti, kelab, persatuan dan peringkat pengajian yang membentuk sifat keusahawanan serta keyakinan diri mereka.

“FESKO kali ini bukan saja memberi peluang kepada orang luar berniaga, malah penuntut turut mencari pengalaman dalam bidang perniagaan dengan membuka gerai jualan.

“Selain itu, penganjuran ini turut menyuburkan budaya memberi dalam kalangan komuniti UTM sebagai menyahut inisiatif UTMPrihatin,” katanya.

Malah FESKO Ke-62 sebelum ini menyampaikan sumbangan berjumlah RM50,000 kepada UTM untuk disalurkan ke beberapa tabung kebajikan penuntut seperti Tabung Endowmen UTM, Pusat Islam UTM, Tabung Endowmen Perpustakaan UTM, Tabung Pusat Kesihatan UTM, Sustainability UTM dan Keselamatan UTM.

Bagi tahun ini, pelbagai acara menarik diadakan seperti Beyblade Burst Competition, Kids Zapin Challenge, Cake Boss, Eco-Pageant, Futsal Tounament, Johor Runbike dan Tropical Run.

SEBAHAGIAN ahli jawatankuasa FESKO Ke-63.
SEBAHAGIAN ahli jawatankuasa FESKO Ke-63.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 4 November 2019 @ 12:18 PM