Garret Dawum


“TINDAKAN untuk menari di atas pentas ketika majlis konvokesyen adalah atas permintaan pihak kolej dan saya tidak tahu perlu berbuat begitu,” kata Mohd Firdaus Nawir.

Mohd Firdaus, 22, yang juga graduan Diploma Pengurusan Hospitaliti dari Kolej Masa, Puchong, Selangor berkata, tindakan itu dilakukan selepas dia mendapat sorakan dan tepukan gemuruh memintanya menunjukkan bakat ketika tersenarai sebagai pelajar cemerlang untuk menerima anugerah khas selepas selesai majlis penganugerahan diploma.

“Do your best, show us your talent (Lakukan yang terbaik, tunjukkan kami bakat anda). Itu antara yang saya dengar ketika berada kira-kira lima minit di atas pentas sebelum menerima anugerah khas iaitu Anugerah Kembara atas pencapaian cemerlang saya dalam bidang akademik dan ko-kurikulum.

“Apabila muzik dimainkan, saya terus menunjukkan kebolehan dan bakat saya iaitu menari. Memang tidak dinafikan, sepanjang belajar di kolej ini, saya selalu mengharumkan nama kolej untuk pertandingan ‘break dance’ di dalam mahupun luar negara,” katanya ketika dihubungi Harian Metro, hari ini.

Rakaman video menunjukkan Mohd Firdaus menari ketika majlis konvokesyen kolej itu pada 19 Januari lalu menjadi tular di laman Twitter dan mendapat pelbagai respon daripada netizen termasuk ada yang mengecam perbuatan itu.

MOHD Firdaus (tiga dari kanan) bersama keluarga pada majlis konvokesyennya, Sabtu lalu.
MOHD Firdaus (tiga dari kanan) bersama keluarga pada majlis konvokesyennya, Sabtu lalu.

Menurut Mohd Firdaus, dia tidak akan menari seperti itu tanpa ada keizinan atau arahan kerana menghormati protokol majlis.

“Saya tahu adab dan istiadat majlis formal seperti konvokesyen. Saya anggap ia sebagai elemen kejutan kerana saya tidak mengikuti raptai konvokesyen. Tahu-tahu saja disuruh tunjuk bakat.

“Saya berterima kasih kepada pihak kolej dan tidak menyangka mereka akan memberi penganugerahan seperti itu kepada saya.

“Anugerah ini adalah pencapaian tertinggi buat diri saya dan menjadi dorongan untuk terus menyambung pengajian di peringkat ijazah sarjana muda.

“Ternyata, pengorbanan saya untuk membawa nama kolej serta Malaysia selama ini hingga ke peringkat antarabangsa memang tidak sia-sia,” katanya yang berasal dari Tawau, Sabah.

Mohd Firdaus atau lebih dikenali sebagai B-boy Sora dalam kalangan penari break dance berkata, dia pernah mengikuti dan memenangi pertandingan break dance yang diadakan di Indonesia, Singapura, Jerman dan Sri Lanka.

Katanya, dia mula menari sejak berusia 13 tahun dan terus mengembangkan bakat ketika membuat diploma di kolej itu.

“Pembabitan saya dalam break dance tercetus apabila sering menonton rancangan Showdown yang disiarkan di televisyen.

“Malah, sepanjang berada di kolej itu, mereka sering memberi sokongan dan dorongan untuk saya mengikuti pertandingan break dance,” katanya yang kini banyak menguruskan acara, bengkel dan menjadi juri pertandingan tarian.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 22 January 2019 @ 9:13 PM
GAYA Mohd Firdaus ketika majlis konvokesyennya pada Sabtu lalu. (Gambar kanan) Mohd Firdaus bersama hadiah dimenangi dalam pertandingan break dance.
GAYA Mohd Firdaus ketika majlis konvokesyennya pada Sabtu lalu. (Gambar kanan) Mohd Firdaus bersama hadiah dimenangi dalam pertandingan break dance.