GOH Jin Wei
GOH Jin Wei
Ferzalfie Fauzi


KUALA LUMPUR: Bekas pemain perseorangan lelaki negara, Ong Ewe Hock mengaku sukar buat Malaysia untuk meraih dua emas dalam acara badminton di Sukan SEA hujung tahun ini.

Bagaimanapun, beliau percaya pemain negara masih berpeluang untuk merealisasikan sasaran berkenaan walaupun bakal berdepan halangan sukar dari Indonesia dan Thailand.

“Di Sukan SEA, Indonesia memang sangat sukar untuk ditumbangkan kerana mereka mempunyai perseorangan dan beregu lelaki yang hebat. Thailand pula menguasai acara wanita,” katanya ketika dihubungi Arena Metro, semalam.

Ujar Ewe Hock, tiada cara lain buat Malaysia untuk mencapai sasaran yang ditetapkan kecuali dengan memberikan aksi paling cemerlang.

Ditanya mengenai peluang perseorangan wanita, Goh Jin Wei untuk mempertahankan emas, beliau berkata, semua bergantung kepada keadaan terkini bekas juara remaja dunia itu.

“Dalam tempoh tiga bulan ini dia harus mempersiapkan diri sebaik mungkin. Sekarang susah untuk kita gambarkan. Ia adalah satu sasaran yang tinggi dan sukar.

“Bagaimanapun, selepas kita meletakkan sasaran, kita harus mencapai sasaran itu tidak kira macam mana sekalipun,” katanya.

Kelmarin, Pengarah Kejurulatihan, Wong Choong Hann mengumumkan sasaran Persatuan Badminton Malaysia (BAM) ialah meraih dua emas dan satu darinya melalui acara perseorangan wanita.

“Begitu juga dalam perseorangan lelaki di mana Lee Zii Jia bakal berdepan laluan berliku. Bukan saja Indonesia tapi Thailand juga mempunyai perseorangan lelaki yang hebat.

“Malah Singapura juga boleh mempertaruhkan pemain kelahiran Malaysia, Loh Kean Yew,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 30 Ogos 2019 @ 5:30 AM