ARIF  tidak lagi beraksi acara perseorangan sebaliknya fokus acara beregu lelaki bersama Khim Wah.
ARIF tidak lagi beraksi acara perseorangan sebaliknya fokus acara beregu lelaki bersama Khim Wah.
Ferzalfie Fauzi


Kuala Lumpur: Tiada lagi aksi Arif Latif dalam perseorangan lelaki dan tiada lagi gandingan beregu lelaki, Koo Kien Keat-Tan Boon Heong bakal mewarnai sukan badminton dunia tahun depan.

Arif mengambil keputusan beraksi dalam acara beregu lelaki bergandingan dengan bekas juara Terbuka Malaysia Lim Khim Wah, manakala Boon Heong membentuk gandingan bersama pemain Indonesia Hendra Setiawan.

Menurut Arif, Grand Prix (GP) Akhir Kebangsaan yang berlangsung di Stadium Juara, Bukit Kiara hari ini bakal menjadi medan terakhirnya dalam acara perseorangan sebelum fokus terhadap beregu lelaki bersama Khim Wah sehingga Sukan Olimpik 2020 Tokyo.

“Untuk Sukan SEA Kuala Lumpur tahun depan saya dan Khim Wah bertekad mencapai beberapa keputusan membanggakan dan jika terpilih, ia memang bagus untuk kami,” katanya yang masih bernaung di bawah Akademi Badminton Granular di Thailand.

Pemain kelahiran Negeri Sembilan itu meletakkan sasaran sekurang-kurangnya mara ke separuh akhir GP Akhir Kebangsaan walaupun sebelum ini lebih banyak beraksi beregu lelaki (bergandingan dengan Watchara Buranakuea) dan beregu campuran (Rusydina Antardayu Riodingin).

Sementara itu, Boon Heong yang pernah memenangi pingat emas Sukan Asia 2000, juara Seluruh England 2007 dan naib juara Kejohanan Dunia 2010 ketika bersama Kien Keat akan bergandingan bersama Hendra yang juga bekas juara dunia tiga kali (2007, 2013 dan 2015) dari Indonesia.

Menurut Boon Heong, fokus utama mereka adalah untuk mengukuhkan kedudukan ranking dunia dengan menyertai sebanyak mungkin kejohanan tahun depan.

“Idea untuk kami bergandingan hadir selepas melihat belum pernah ada mana-mana pemain utama dunia bergandingan bersama, jadi kami mahu melakukannya dan lihat hasilnya.

“Kami tidak meletakkan sebarang sasaran khusus kerana bukan muda lagi. Kami akan cuba buat yang terbaik dalam setiap kejohanan disertai. Jika ada peluang layak ke Kejohanan Dunia tahun depan, ia sudah cukup bagus,” kata pemain kelahiran Kedah itu.

Hendra juga memenangi emas Olimpik Beijing 2008 ketika bersama Markis Kido, akan bergandingan bersama Boon Heong dalam aksi sulung di Grand Prix (GP) Emas Terbuka India, bulan depan.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 8 Disember 2016 @ 9:09 AM