WATAK dalam filem The Divine Fury benar-benar uji kemampuan sebagai pelakon.
WATAK dalam filem The Divine Fury benar-benar uji kemampuan sebagai pelakon.
Syanty Octavia Amry


(Yang diterbangkan oleh kATriNaga untuk menemu bual Park Seo Joon di Korea Selatan baru-baru ini)

AURA ketampanannya mampu mencairkan hati setiap wanita. Tidak hairanlah lakonannya berjaya menarik perhatian jutaan penonton dan boleh dikatakan hampir semua filem lakonan Park Seo Joon pecah panggung malah drama bersirinya turut sohor kini (trending) di laman sosial.

Begitu hebatnya pesona jejaka tinggi lampai berusia 31 tahun ini sehinggakan filem terbaharu lakonannya berjudul The Divine Fury turut dinantikan semua pengikut setianya.

Di Malaysia, The Divine Fury akan mula menemui penonton pada 15 Ogos manakala tayangan awal pula pada 9 hingga 14 Ogos ini di pawagam terpilih.

The Divine Fury karya aksi thriller arahan Jason Kim yang turut menampil­kan ramai bintang terkenal termasuk Ahn Sung Ki dan Woo Do Hwan.

Berkongsi mengenai pembabitannya dalam filem itu, Seo Joon berkata, jarang sekali dia melakonkan watak aksi dan pastinya peluang yang diberikan Jason Kim disambut dengan hati terbuka.

“Pastinya saya sangat teruja kerana selepas beraksi dalam filem Midnight Runners dua tahun lalu, saya sekali lagi diberikan genre yang sama namun jalan cerita berbeza.

“Apatah lagi, ini kali kedua saya bekerja di bawah arahan Jason dan ia pe­ngalaman yang menarik,” katanya.

Berkongsi pengalaman berlakon di samping Ahn Sung Ki, Seo Joon berkata, dia tidak sabar bertemu aktor veteran itu apabila dimaklumkan mereka akan bergandingan sebagai bintang utama.

DARI kiri, Do Hwan, Seo Joon dan Sung Ki.
DARI kiri, Do Hwan, Seo Joon dan Sung Ki.

“Saya sangat teruja dan tidak sabar untuk berlakon bersamanya. Saya akui agak segan pada awal pertemuan kerana sangat menghormati Sung Ki sebagai bintang legenda Korea Selatan. Bagaimanapun, sikap tenang Sung Ki buat saya jadi tenang dan lega.

“Banyak ilmu yang saya dapat pelajari daripada beliau sepanjang penggambaran filem ini dan ia secara tidak langsung dapat memperbaiki mutu lakonan pada masa akan datang,” katanya.

Membawakan watak juara tinju bernama Yong Hoo meninggalkan banyak kenangan menarik buat Seo Joon. Malah, aktor yang murah dengan senyuman itu mengakui hampir semua babak dalam filem terbabit menarik baginya.

“Paling mengujakan babak ketika pertama kali bertemu watak paderi lakonan Sung Ki. Ikutkan semua babak menarik di mata saya. Malah, sukar untuk saya pilih mana paling menarik kerana setiap babak itu ada detik dan kenangan berharga.

“Filem ini menuntut saya bermain dengan banyak emosi dan ia benar-benar menguji kemampuan saya sebagai pelakon,” katanya.

Selain itu, Seo Joon juga tidak perlu bersusah payah menjalani latihan fizikal untuk mendapatkan bentuk badan menarik kerana sudah memilikinya sebelum penggambaran.

“Pengalaman berlakon drama bersiri Fight for My Way banyak ubah gaya hidup saya. Sejak itu saya sudah terbiasa bersukan dan menitikberatkan bentuk badan yang menarik,” katanya.

Berkongsi pengalaman misteri ketika menjalani penggambaran filem berkenaan, Seo Joon bersyukur kerana tidak mengalami sebarang gangguan.

“Mungkin kami selalu berdoa dan berharap tidak berlaku perkara kurang baik setiap kali hendak memulakan penggambaran,” katanya.

DEKATI PEMINAT MENERUSI SALURAN YOUTUBE

Jika diamati kembara seninya, Seo Joon tidak seperti bintang Korea Selatan lain yang aktif di laman sosial. Tidak hairanlah banyak laman sosial mengenainya diwujudkan peminatnya.

Bagaimanapun, itu tak bermakna Seo Joon tidak meletakkan peminat sebagai keutamaan dalam hidupnya. Pelakon berbakat besar ini punya cara tersendiri untuk mendekati mereka yang mencintainya iaitu dengan mewujudkan vlog menerusi YouTube yang diberi nama Record Park’s.

BABAK  babitkan Seo Joon dan Sung Ki.
BABAK babitkan Seo Joon dan Sung Ki.

Walaupun baru satu video dimuat naik, jumlah tontonan yang ada sudah cukup membuktikan peminat Seo Joon sentiasa dahagakan perkongsian daripadanya.

Menerusi vlog itu, Seo Joon berkongsi aktviti sehariannya sejak awal pagi hinggalah malam. Orang ramai dapat menyaksikan betapa padatnya jadual Seo Joon.

“Menerusi vlog ini saya harap dapat lebih banyak peluang dan ruang untuk berkomunikasi dengan peminat.

“Saya sedar kurang aktif di laman sosial tetapi akan cuba mengisi vlog ini dengan pelbagai cerita ring­kas mengenai kehidupan seharian,” katanya.

Seo Joon menyifatkan vlog yang diwujudkan itu sebagai hadiah buat peminat yang tidak putus menyokong karier seninya selama ini.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 5 Ogos 2019 @ 5:30 AM