BINTANG Fight My Way akui dia dan pelakon lain sungguh gembira ketika penggambaran.
BINTANG Fight My Way akui dia dan pelakon lain sungguh gembira ketika penggambaran.
Amirul Haswendy Ashari.


Peluang bekerja dengan produksi yang bagus sememangnya menjadi impian pelakon kerana hasilnya pasti membanggakan dan mendapat perhatian penonton.

Pelakon kacak, Park Seo Joon benar-benar bersemangat apabila bercerita mengenai drama terbarunya, Fight My Way. Pada sidang media drama itu baru-baru ini, Park dengan gembiranya berkongsi kesungguhannya menjayakan drama itu.

Katanya, drama itu pasti menarik jika ia menjadi tetapi apa yang lebih penting baginya adalah gembira sepanjang menjalani penggambaran.

“Bagi saya yang paling penting ialah adakah kami gembira menamatkan penggambaran drama ini? Apapun, keputusan selalunya bukan tepat daripada saya.

“Namun peluang berada dalam produksi yang bagus adalah lebih baik,” katanya.

Park juga berkongsi kesulitannya menjayakan babak pertarungan campur dalam drama itu. Katanya, dia perlu mengekalkan tahap jasmani yang tinggi untuk karakternya dan anggap ia sesuatu yang sukar.

“Ia seolah-olah berlawan dengan diri sendiri tetapi saya akan cuba yang terbaik untuk menang,” katanya.

Selalunya produksi drama menonjolkan rating memuaskan tetapi untuk Fight My Way menerusi saluran KBS, ia agak menarik. Pada sidang media itu yang turut dihadiri pelakon lain seperti Kim Ji Won, Ahn Jae Hong, Song Ha Yoon dan Kim Sung Oh, mereka pernah membuat perjanjian.

Kim Sung Oh berkata, jika drama itu berjaya melepasi rating 30 peratus, Park Seo Joon dan Kim Ji Won boleh berkahwin. Andai rating melebihi 20 peratus pula, Ahn Jae Hong dan Song Ya Yoon pula patut berkahwin.

“Kami mengenali antara satu sama lain terlalu lama dalam drama, jadi rasanya sudah tiba masa kami berkahwin!” kata Kim Sung Oh, lalu disambut gelak ketawa penonton dalam studio.

Park Seo Joon pula mencadangkan supaya memberi jaminan rating yang lebih realistik. Katanya, jika rating drama melepasi 30 peratus tontonan, dia berjanji akan menaiki bas bersama peminat dari Seoul ke Busan.

Dia memilih Busan kerana kebanyakan babak dalam drama berkenaan menjalani penggambaran di sana.

Drama bergenre komedi romantis itu adalah mengenai mencapai impian dan cinta serta persahabatan. Park Seo Joon memegang watak Go Dong Man, ahli bela diri campur yang menyimpan impian menjadi atlit taekwondo.

Park Seo Joon juga mendedahkan hubungannya dengan Kim Ji Won semakin rapat ketika menjalani penggambaran drama itu.

“Walaupun kali pertama bekerja dengan Kim Ji Won, kami sering berbual pada peringkat awal penggambaran. Ia seolah-olah kami sudah lama kenal satu sama lain. Kini kami sudah memiliki keserasian kerana sangat rapat,” katanya.

Song Ha Yoon dan Ahn Jae Hong pula memegang watak Baek Seol Hee dan Kim Joo Man. Mereka berdua sudahpun membina hubungan selama enam tahun.

Mengenai keserasian sesama pelakon, pengarah drama, Lee Na Jung berkata, dia cuba mengumpulkan pelakon dengan tenaga yang segar dan ceria.

Katanya, kumpulan pelakonnya itu adalah sempurna, sekali gus menampakkan kemahiran lakonan yang bagus.

Drama Fight My Way dijadualkan mula bersiaran esok, setiap Isnin dan Selasa.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 21 Mei 2017 @ 5:53 AM