Mohamad Azim Fitri Abd Aziz


“FELDA dulu dan sekarang sudah banyak berbeza dan berubah. Kini ramai anak-anak FELDA sudah berjaya dan berjawatan tinggi dalam pelbagai sektor.

“Kejayaan ini sesuatu yang membanggakan bukan sahaja kepada anak peneroka tetapi bangsa Melayu juga,” kata selebriti terkenal Cef Wan.

Cef Wan atau nama sebenarnya Datuk Dr Redzuawan Ismail dipilih menerima Anugerah Ikon FELDA kali ini yang disampaikan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad ketika Sambutan Hari Peneroka FELDA Peringkat Kebangsaan 2019 di FELDA Selancar 3, Rompin, hari ini.

Ketika ditemui, beliau mengucapkan terima kasih dan menzahirkan kesyukuran atas pemilihannya sebagai ikon FELDA.

Mengimbau kenangan menjadi anak peneroka di tanah rancangan FELDA Sungai Koyan, Lipis, Pahang, Chef Wan berkata, banyak perubahan boleh dilihat kini berbanding masa lalu.

Katanya, anak peneroka generasi kedua dan ketiga perlu mengenang semangat gigih ibu bapa mereka membangunkan tanah rancangan itu dengan mewarisi tanah berkenaan.

“Sepatutnya usahakan tanah yang ada dengan tanam macam-macam hasil boleh dipasarkan. Yang ada di pasaran sekarang kebanyakan hasil tanaman diimport,” katanya.

Pada masa sama, beliau turut mencadangkan supaya kerjasama antara FELDA dan kementerian berkaitan dilakukan supaya kawasan tanah yang ada dapat dibangunkan secara tersusun sekali gus memberi pulangan kepada peneroka.

“Sayang jika ada tanah tapi dibiarkan tidak diusahakan, perlu ada agensi dan badan tertentu untuk bekerjasama dengan FELDA serta peneroka untuk mengusahakan tanah yang ada,” katanya.


Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 7 Julai 2019 @ 3:41 PM
TUN Dr Mahathir Mohamad menyampaikan Anugerah Ikon FELDA kepada Chef Wan ketika Sambutan Hari Peneroka Kebangsaan 2019 di Padang Awam, Felda Selancar 3, Rompin. FOTO MOHAMAD SHAHRIL BADRI SAALI
TUN Dr Mahathir Mohamad menyampaikan Anugerah Ikon FELDA kepada Chef Wan ketika Sambutan Hari Peneroka Kebangsaan 2019 di Padang Awam, Felda Selancar 3, Rompin. FOTO MOHAMAD SHAHRIL BADRI SAALI