LAPORAN portal Harian Metro semalam (kiri). Najib (kanan)
LAPORAN portal Harian Metro semalam (kiri). Najib (kanan)
Idris Musa


BEKAS Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak berkata, beliau mengaku bersalah kerana cuba menyelesaikan masalah legasi FELDA dan memberi pinjaman mudah kepada peneroka demi kehidupan yang lebih baik.

“Saya mengaku bersalah kerana cuba menyelesaikan masalah legasi FELDA serta menjaga dan memberi pelbagai pinjaman mudah dan bantuan kepada kroni, iaitu peneroka dan keluarga mereka supaya kehidupan mereka lebih baik,” katanya menerusi hantaran di Facebook (FB) beliau, hari ini.

Berkongsi siaran berkenaan isu FELDA itu, Najib secara sinis berkata, ada yang mengaku dirasuk syaitan mengenai isu FELDA sehingga mengugut untuk menamparnya.

“Tetapi syaitan mana yang merasuk? Syaitan mana yang hasut dengan pelbagai penipuan sehingga orang yang waras boleh dirasuk,” soalnya.

Sebelum ini, Datuk Redzuawan Ismail atau Chef Wan dilapor berkata, mahu menampar muka Najib ketika hadir berkempen untuk Pakatan Harapan (PH) di Felda Sungai Koyan 1 di Jelai, kelmarin.

Perkara itu berlaku apabila chef selebriti terbabit tidak merestui langkah Felda ketika ditadbir kerajaan Barisan Nasional (BN) dengan memberikan imbuhan kepada peneroka yang dianggapnya rasuah.

Bagaimanapun, selepas mengeluarkan kenyataan kontroversi itu, Chef Wan semalam tampil memohon maaf secara terbuka dan mengaku kesilapannya bila dirasuk syaitan dan naik marah.

Mengulas lanjut, Najib berkata, pemimpin PH termasuk yang dirasuk syaitan perlu faham fakta bahawa pokok sawit yang sudah tua tidak akan mengeluarkan buah yang mengandungi minyak.

Justeru katanya, kadar pengeluaran minyak mula menurun dan jika tidak diselesaikan, FELDA tidak akan wujud lagi pada masa depan.

“Itulah antara sebab utama FGV disenaraikan untuk mendapat dana bagi penanaman semula berskala besar dan juga untuk menjaga kebajikan peneroka.

“Pinjaman dari FELDA yang diberi kepada peneroka kebanyakan untuk penanaman semula, pembesaran ataupun pembinaan rumah baharu untuk peneroka dan pendidikan anak mereka,” katanya.

Katanya, untuk hutang penanaman semula, FELDA membayar bantuan sara hidup setiap bulan kepada peminjam sewaktu ladang mereka belum matang.

“Apabila sudah matang, pembayaran hutang ialah melalui potongan jualan dari hasil ladang itu.

“Tidak ada seorang pun peneroka yang pernah dihalau keluar kerana tidak membayar hutang,” katanya.

Berita berkaitan

'Chef Wan mohon maaf'

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 22 January 2019 @ 3:51 PM