Azmin menyifatkan kenyataan Chef Wan yang baru menerima Anugerah Ikon FELDA adalah pandangan peribadi. FOTO Mohamad Shahril Badri Saali
Azmin menyifatkan kenyataan Chef Wan yang baru menerima Anugerah Ikon FELDA adalah pandangan peribadi. FOTO Mohamad Shahril Badri Saali
Hairulazim Mahmud dan Yusmizal Dolah Aling


KERAJAAN yakin peneroka FELDA berpotensi untuk terus maju dengan model baru agensi berkenaan, kata Menteri Hal Ehwal Ekonomi Datuk Seri Mohamed Azmin Ali.

Kenyataan itu bertentangan dengan dakwaan Chef Wan atau nama sebenarnya Datuk Redzuawan Ismail yang baru dinobatkan sebagai Ikon FELDA kononnya golongan peneroka pemalas.

Mohamed Azmin berkata, generasi peneroka hari ini boleh terus maju dengan syarat memberi dokongan dan sokongan inisiatif baru yang dibentangkan dalam Kertas Putih FELDA baru-baru ini.

“Tak apalah, itu pandangan peribadi dia, yang penting sebagai kerajaan kita mengemukakan satu dasar baru, model baru yang dibentang di Parlimen, kita juga dapat peruntukan besar untuk menjayakan inisiatif itu,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada media di lobi Parlimen hari ini.

Chef Wan melalui akaun Instagram dan Twitternya menempelak golongan peneroka sebagai pemalas dan ‘lebih gemar beranak seperti kucing’.

Katanya, peneroka yang mempunyai wang lebih akan berkahwin dua dan tiga sebelum mereka ‘beranak seperti kucing.

Dalam pada itu Mohamed Azmin menafikan diejek ketika berucap pada Majlis Sambutan Hari Peneroka FELDA Peringkat Kebangsaan 2019 di FELDA Selancar 3, Rompin semalam.

Sebaliknya beliau berkata, apa yang berlaku terdapat kekecohan di bahagian belakang tempat duduk tetamu ketika beliau berucap.

“Ada sedikit gangguan tapi bukan terhadap saya, saya rasa ada sedikit kekecohan di belakang tapi kami tak tahu mengenainya,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 8 Julai 2019 @ 5:59 PM