BARU (kanan) beramah mesra bersama orang awam selepas melancarkan Kempen Advokasi Keselamatan Lebuh Raya Sempena Aidilfitri di Kawasan R&R Klang Utara Lebuhraya Grand Sepadu, hari ini. FOTO SADDAM YUSOFF.
BARU (kanan) beramah mesra bersama orang awam selepas melancarkan Kempen Advokasi Keselamatan Lebuh Raya Sempena Aidilfitri di Kawasan R&R Klang Utara Lebuhraya Grand Sepadu, hari ini. FOTO SADDAM YUSOFF.
Iskandar Shah Mohamed


SEMPENA Aidilfitri, 23 konsesi lebuh raya menawarkan diskaun tol antara 10 hingga 33 peratus pada hari pertama sambutan perayaan itu, minggu depan.

Pemberian diskaun itu diberikan kepada pengguna bagi kenderaan Kelas 1 berkuat kuasa dalam tempoh 24 jam bermula 12 tengah malam hari berkenaan.

Manakala, tiga konsesi lebuh rayau hanya memberi diskaun di Tol Ampangan Lebuh Raya Kajang Seremban (LEKAS), Tol Pulau Indah Lebuhraya Lembah Klang Selatan (SKVE) serta Tol Perling dan Tol Lima Kedai Lebuhraya Laluan Kedua Malaysia-Singapura (LINK KEDUA).

Menteri Kerja Raya, Baru Bian berkata, diskaun tol itu sejajar dengan tanggungjawab sosial korporat (CSR) syarikat konsesi sempena musim perayaan yang dilaksanakan sejak 2010.

“Menerusi insentif di bawah program CSR itu, saya percaya pengguna akan turut berasa dihargai oleh syarikat konsesi.

“Kita amat berterima kasih kepada semua konsesi berkenaan dan berharap pengguna menerima manfaat diskaun itu sempena Aidilfitri,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas melancarkan Kempen Advokasi Keselamatan Lebuh Raya Sempena Aidilfitri di Kawasan Rehat dan Rawat Klang Utara Lebuhraya Pintas Selat Kelang Utara Baru (Grand Sepadu) di Klang, hari ini.

Hadir sama, Timbalan Menteri Kerja Raya, Mohd Anuar Mohd Tahir; Ketua Pengarah Lembaga Lebuh Raya Malaysia (LLM) Datuk Aziz Abdullah dan Yang Dipertua Persatuan Syarikat-Syarikat Konsesi Lebuhraya Malaysia, Datuk Azman Ismail.

Dalam pada itu, kata Baru, pihaknya menjangkakan berlaku kesesakan di beberapa lokasi tertentu berikutan peningkatan jumlah kenderaan di jalan raya pada waktu puncak.

Beliau berkata, ia berikutan pergerakan balik kampung dan pulang semula ke rumah bermula minggu depan.

“Justeru, LLM, polis dan syarikat konsesi di seluruh negara sudah bersedia membantu pengguna dalam melancarkan aliran trafik dan memastikan keselamatan mereka sepanjang musim perayaan ini.

“LLM turut mengeluarkan arahan henti kerja bagi semua penyelenggaraan kecuali membabitkan kecemasan bermula 29 Mei sehingga 13 Jun ini.

“Pada masa sama, pelaksanaan larangan penggunaan kenderaan berat di jalan dan lebuh raya akan dikuatkuasakan selama lima hari bermula 1 hingga 3 Jun serta 8 dan 9 Jun,” katanya.

Pengguna boleh mendapatkan maklumat trafik terkini di pusat pengurusan trafik LLM yang akan beroperasi 24 jam sehari untuk perancangan perjalanan.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 28 Mei 2019 @ 4:53 PM