KANAK-kanak dari Rumah Joy diraikan Kumpulan Litrak.
KANAK-kanak dari Rumah Joy diraikan Kumpulan Litrak.
Oleh Muhammad Saufi Hassan


Kuala Lumpur: Sempena perayaan Krismas akan disambut Jumaat depan, sebanyak 582,000 pengguna di dua lebuh raya kendalian syarikat konsesi lebuh raya, Lingkaran Trans Kota Sdn Bhd (LITRAK) iaitu Lebuhraya Damansara Puchong (LDP) dan Lebuhraya Sistem Penyuraian Trafik Kuala Lumpur Barat (SPRINT) bakal menikmati pemberian diskaun tol bagi semua kelas kenderaan, 25 Disember ini.

Pengurus Jabatan Komunikasi Kumpulan LITRAK Shah Rizal Mohamed Fawzi berkata, bagi pengguna LDP, kadar diskaun diberikan adalah 60 sen manakala SPRINT sebanyak 20 sen bagi semua kelas kenderaan pada hari perayaan itu.

“Kadar diskaun tol ini akan berkuat kuasa Jumaat depan bermula jam 12.01 tengah malam hingga 11.59 malam hari sama. Ini adalah tanggungjawab sosial kami untuk mengurangkan beban pengguna lebuh raya terutama bagi musim perayaan.

“Inisiatif kadar diskaun tol bukan program baru, sebaliknya kita laksanakan bagi semua jenis perayaan di negara ini dan kita juga pernah melaksanakan laluan percuma bagi semua kelas sempena hari kemerdekaan yang lalu,” katanya kepada pemberita dalam satu sidang akhbar, di sini, semalam.

Katanya, anggaran trafik bagi perayaan Krismas Jumaat depan dianggarkan mencecah 582,000 pengguna bagi kedua-dua lebuh raya berkenaan dan anggaran subsidi pula sebanyak RM280,000.

Menurutnya, inisiatif pemberian diskaun tol itu dimulakan sejak 2010 oleh kumpulan LITRAK sebagai satu usaha membantu pengguna lebuh raya di samping berkongsi kegembiraan menyambut pelbagai perayaan di negara ini.

“Bagi tempoh 2010 hingga 2014, kita memberikan subsidi menerusi pelaksanaan diskaun tol sebanyak RM6.9 juta yang dinikmati oleh hampir 11.66 juta pengguna LDP dan SPRINT.

“Pelaksanaan program diskaun tol ini akan diteruskan dari semasa ke semasa memandangkan maklum balas yang positif daripada pengguna. Kita sedar terhadap bebanan rakyat dan usaha ini diharap dapat mengurangkan beban mereka,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 17 Disember 2015 @ 8:20 AM