Nur Izzati Mohamad


LEBIH 1,000 individu mengerumuni ruang bidaan di pekarangan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Seberang Jaya di sini, semalam untuk mencuba nasib membeli kereta mewah yang disita dengan harga lebih murah.

Pada program berkenaan, ada 100 kereta pelbagai jenama antarabangsa yang disita pihak berkuasa dilelong kepada orang awam yang membeli buku lelongan sejak 25 Mac lalu.

Pengarah JPJ Pulau Pinang Mohamat Johari Mat Nor berkata, pada mulanya buku lelongan yang dikeluarkan hanya 150 naskhah.

Bagaimanapun, permintaan yang tinggi menyebabkan pihaknya mencetak sehingga 1,050 buku lelongan yang dijual pada harga RM100 senaskhah.

“Kami tidak menyangka program lelongan kenderaan sita ini mendapat permintaan tinggi daripada masyarakat.

ANTARA pembida  pada Lelongan Awam Kenderaan Sita di pejabat JPJ Seberang Jaya, Pulau Pinang.
ANTARA pembida pada Lelongan Awam Kenderaan Sita di pejabat JPJ Seberang Jaya, Pulau Pinang.


“Oleh itu, kami bekerja keras sejak dua bulan lalu bagi memastikan proses lelongan ini berjalan lancar,” katanya pada program lelongan berkenaan.

Menurutnya, selain kakitangan JPJ, pemerhati daripada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) turut memantau proses lelongan yang berlangsung dua hari sehingga petang esok.

Difahamkan, bidaan semua kenderaan terbabit bermula pada harga RM700 hingga RM13,000.

Mohamat Johari berkata, individu yang membeli buku lelongan dibenarkan untuk melihat kenderaan sita sebelum mereka membuat bidaan.

“Jadi, kami berharap mereka membuat pilihan yang baik dan mengikuti peraturan sepanjang proses lelongan berlangsung,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 25 April 2019 @ 6:00 AM
ANTARA kereta sita yang dilelong pada Lelongan Awam Kenderaan Sita di pejabat JPJ Seberang Jaya, Pulau Pinang.
ANTARA kereta sita yang dilelong pada Lelongan Awam Kenderaan Sita di pejabat JPJ Seberang Jaya, Pulau Pinang.