ASNAWI bersama  Norazila memeriksa kereta yang berjaya dibida.
ASNAWI bersama Norazila memeriksa kereta yang berjaya dibida.
Rizanizam Abdul Hamid


MELAKA: “Ini saja yang mampu saya berikan kepada isteri sebagai hadiah ulang tahun perkahwinan kami yang kelima,” kata peniaga runcit, Asnawi Abu Bakar, 35, yang menghadiahkan kereta klon Volkswagen Golf GTI 2.0 dibida pada harga RM30,100 kepada isterinya.

Dia membida kereta buatan Jerman itu pada Program Lelongan Awam Kenderaan Sita anjuran Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Melaka di Pejabat JPJ negeri di sini, semalam.

Katanya, kejayaan itu amat menggembirakannya selepas gagal dalam bidaan sebuah Mini Cooper S pada program lelongan anjuran JPJ Perlis sebelum ini.

Katanya, dia terlepas peluang untuk menghadiahkan Mini Cooper S itu untuk isterinya, Norazila Hussin, 33, selepas tewas kepada pembina lain yang meletakkan harga RM43,000.

“Mungkin sudah tertulis rezeki isteri untuk memiliki Volkswagen Golf GTI hari ini (semalam) sebagai hadiah ulang tahun perkahwinan kami yang ke lima pada 22 Jun lalu,” katanya ketika ditemui pada program lelongan awam itu.

Bapa kepada dua anak yang menetap di Padang Jawa, Klang, Selangor itu berkata, kerana tidak mahu menghampakan isterinya dia sanggup ke Melaka untuk menyertai bidaan.

“Syukur kerana saya berjaya membida Volkswagen Golf GTI 2.0 ini pada harga lebih rendah berbanding bajet RM35,000 dianggarkan,” katanya.

Sementara itu, Norazila berkata dia gembira apabila percubaan suami pada kali kedua membelikan kereta untuk kegunaan hariannya berhasil.

“Suami cakap, dia ada kumpul sedikit duit sejak lapan bulan lalu dan memang berniat untuk membelikan kereta bagi kegunaan saya,” katanya.

 MUHAMMAD Firdaus memeriksa kenderaan sita yang dilelong.
MUHAMMAD Firdaus memeriksa kenderaan sita yang dilelong.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 16 Ogos 2019 @ 5:30 AM