BERNAMA

Ipoh: Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Perak merekodkan kutipan sebanyak RM1.07 juta hasil jualan kenderaan lelong yang dilakukan dalam tempoh Januari hingga September tahun ini.

Pengarah JPJ Perak Mohammad Yusoff Abustan berkata ia membabitkan 117 kenderaan yang dilucut hak termasuk kereta, motosikal dan sebagainya dalam sesi lelongan yang dilakukan di negeri ini.

"Pada siri lelongan awam kenderaan sita ini, sebuah kereta jenis Toyota Alphard mencatat nilai bidaan tertinggi RM32,000 manakala motosikal jenis Modenas Kriss menerima nilai bidaan terendah pada harga permulaan RM200," katanya kepada pemberita selepas tamat sesi lelongan di sini, hari ini.

Mohammad Yusoff berkata lelongan hari ini menawarkan 47 kenderaan membabitkan 31 kereta, 13 motosikal dan tiga lori dan daripada jumlah kenderaan itu, 35 daripadanya boleh dilesenkan manakala 12 kenderaan tidak boleh dilesenkan (skrap).

YUSOFF Abustan menunjukkan gambar kereta jenis Toyota Alphard yang dilelong ketika sidang media pada Majlis Pelelongan Awam Kenderaan Sita Bil. 2/2022 di JPJ Negeri Perak. FOTO L Manimaran
YUSOFF Abustan menunjukkan gambar kereta jenis Toyota Alphard yang dilelong ketika sidang media pada Majlis Pelelongan Awam Kenderaan Sita Bil. 2/2022 di JPJ Negeri Perak. FOTO L Manimaran

"Semua kenderaan yang dilelong telah disita atas pelbagai kesalahan di bawah Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan pembida yang hadir perlu membeli buku lelongan awam berharga RM70 yang dibuka jualannya selama empat hari bermula 12 hingga 15 September lalu," tambahnya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 20 September 2022 @ 3:30 PM