MIR Khairol Hafizal (kanan) bersama pembida melihat keadaan kenderaan yang dilelong. FOTO Baharom Bakar
MIR Khairol Hafizal (kanan) bersama pembida melihat keadaan kenderaan yang dilelong. FOTO Baharom Bakar
Baharom Bakar


Kuala Terengganu: Seorang pembida yang berhasrat membeli kenderaan dilelong pulang kehampaan selepas buku lelong dibeli dengan 'orang tengah' tidak disahkan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), hari ini.

Pembida itu bukan sahaja tidak dapat menyertai lelongan awam kenderaan sita, malah kerugian RM200 apabila diperdayakan orang tengah yang menjual buku lelongan dengan harga RM200 senaskhah, sedangkan harga asal ditawarkan JPJ hanya RM70.

Pengarah JPJ Terengganu, Zulkarnain Yasin berkata, pihaknya tidak pernah melantik individu lain untuk berurusan dengan JPJ terutama membabitkan penjualan buku lelongan.

Beliau berkata, pembida terbabit mengakui membeli buku lelongan daripada seorang individu dengan harga RM200 senaskhah, sedangkan harga senaskhah buku lelongan itu hanya RM70.

"Kami terpaksa menolak permohonan itu kerana pembida yang mahu membeli kenderaan lelong itu tidak berdaftar kerana membeli buku lelongan daripada orang tengah.

"Pembida itu berjumpa dan membuat rayuan, tetapi permohonannya tidak dapat dipertimbangkan kerana semakan dilakukan melalui sistem mendapati dia tidak berdaftar secara sah untuk menyertai lelongan kenderaan sita," katanya.

Zulkarnain berkata demikian ketika ditemui pada Majlis Lelongan Awam JPJ negeri siri 1/2020 di Dewan Terbuka Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu (JHEAT), di sini, hari ini.

Hadir sama, Timbalannya, Mir Khairol Hafizal Mir Idris.

Zulkarnain berkata, JPJ negeri memperoleh hasil lelongan kenderaan sita berjumlah RM369,100 apabila 47 kenderaan termasuk 16 kereta, 28 motosikal, dua van dan sebuah lori kecil dilelong dalam tempoh tiga jam bermula 9 pagi.

Beliau berkata, sambutan diterima amat menggalakkan apabila 100 buku lelongan habis dijual dalam tempoh tiga jam sahaja dan pihaknya terpaksa menambah cetakan 100 lagi buku lelongan bagi memenuhi permintaan pembida.

"Bidaan paling tinggi adalah kereta Subaru Impreza bernilai RM47,000 manakala bidaan terendah ialah motosikal Modenas Kriss dengan harga RM50.

"Semua pembida yang berdaftar secara sah diberi peluang untuk melihat sendiri kenderaan dilelong di kandang kenderaan sita di JPJ negeri.

"Siri lawatan kenderaan sita dikendalikan Mir Khairol Hafizal dan pembida melihat sendiri kenderaan bagi memudahkan mereka membuat penilaian harga sebelum menyertai majlis lelongan itu," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 4 November 2020 @ 10:32 PM