Antara pembida yang membida harga pada Lelongan Awam Kenderaan Sita. FOTO Shahnaz Fazlie Shahrizal
Antara pembida yang membida harga pada Lelongan Awam Kenderaan Sita. FOTO Shahnaz Fazlie Shahrizal
Nur Izzati Mohamad


PROGRAM Lelongan Awam Kenderaan Sita yang dianjurkan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Pulau Pinang hari ini berjaya mengumpul hasil jualan lebih RM2.31 juta.

Jumlah itu tidak termasuk hasil kutipan buku lelong sebanyak RM105,000 sejak ia mula dijual pada 23 Mac lalu.

JPJ dalam satu kenyataan media berkata, semua 100 kenderaan sita yang dilelong habis dibida pada 2 petang hari ini.

Katanya, daripada 100 kenderaan sita itu, 97 kereta boleh dilesenkan manakala tiga lagi tidak boleh didaftarkan (scrap).

“Kutipan bidaan tertinggi pada majlis ini adalah dua Toyota Estima 2.4 (A) yang dibida sebanyak RM 52,000 sebuah, manakala kutipan bidaan terendah adalah dua kenderaan masing-masing Nissan Sentra1.6 dan Nissan March 1.0 yang dibida sebanyak RM 7,000 sebuah.

“Bagi tiga kenderaan yang tidak boleh daftar (scrap) mencatatkan kutipan bidaan sebanyak RM 9,200,” katanya.

Program lelongan awam itu sepatutnya berakhir petang esok, bagaimanapun ia habis dijual lebih awal dari jangkaan yang ditetapkan iaitu hanya berlangsung selama empat jam sahaja.

Majlis perasmian yang diadakan di pejabat JPJ Seberang Jaya itu disempurnakan Pengarah JPJ negeri, Mohamat Johari Mat Nor.

Dalam majlis berkenaan, pemerhati daripada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) turut hadir bagi memantau proses lelongan berkenaan.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 24 April 2019 @ 8:28 PM