ANGGOTA Forensik PDRM  membawa keluar satu  mayat yang reput di dalam tiga beg plastik ke Markas Teknikal PGA Wang Kelian selepas dibawa turun dari Gunung Perlis.
ANGGOTA Forensik PDRM membawa keluar satu mayat yang reput di dalam tiga beg plastik ke Markas Teknikal PGA Wang Kelian selepas dibawa turun dari Gunung Perlis.
Mohd Firdaus Ibrahim dan Hidayatul Akmal Ahmad


WALAUPUN ketua penyeludupan etnik Rohingya warga Thailand Na Yok Thon @ Tong sudah dijatuhi hukuman penjara 78 tahun namun kegiatan terbabit dikatakan masih berjalan seperti biasa.

Malah, ia dilakukan dalam skala kecil-kecilan dan dijalankan saki-baki pembantu Tong.

Menurut sumber, berdasarkan siasatan dijalankan, sindiket diketuai Tong memiliki kapal dagang sendiri yang mampu memuatkan antara 500 hingga 1,000 pelarian etnik Rohingya dan Bangladesh pada satu-satu masa.

“Kapal itu didaftarkan di Vietnam namun atas nama warga Thailand yang juga orang kepercayaan Tong. Kapal itu dibahagikan kepada beberapa bahagian yang mana wanita dan kanak-kanak diasingkan daripada lelaki.

“Di setiap bahagian mempunyai sel tertentu. Semua pelarian ditandakan dengan gelang pada tangan mereka. Gelang itu dipakaikan kepada pelarian bagi memudahkan proses pembahagian pelarian kepada ejen di Thailand ataupun Malaysia,” katanya.

Katanya, biarpun kebanyakan ahli sindiket diketuai Tong sudah ditahan namun saki-baki rangkaiannya dikesan kembali mengaktifkan kegiatan penyeludupan itu.

“Walaupun sindiket tidak lagi mendirikan kem atau penempatan sementara di kawasan sempadan Malaysia-Thailand namun mereka dilaporkan masih menggunakan laluan sama seperti di Bukit Wang Burma, Wang Kelian untuk menyeludup migran.

 KAWASAN kurungan di kem penempatan Rohingya di Bukit Genting Perah, Wang Kelian.
KAWASAN kurungan di kem penempatan Rohingya di Bukit Genting Perah, Wang Kelian.

“Modus operandi digunakan masih sama. Menggunakan bot kecil di Bangladesh dan Myanmar sebelum semua pelarian dipindahkan ke kapal dagang. Kapal dagang yang belayar dari sana akan berada di perairan antarabangsa antara Thailand dan Malaysia.

“Bot kecil akan membawa pelarian ke rumah penampungan sebelum diserahkan kepada keluarga mereka di Malaysia,” katanya menjelaskan, bayaran kini dikenakan antara RM5,000 hingga RM8,000 seorang.

Sumber keselamatan juga mendedahkan, Tong mempunyai rangkaian yang besar dan pembantu terdiri daripada warga Thailand, Malaysia, Myanmar dan Bangladesh.

“Ahli sindiketnya terdiri daripada pengemudi kapal dan kru, tekong laut, tekong darat, transporter, penjaga kem, penjaga rumah penampungan (tempat simpan) dan jaga air. Ini tidak termasuk anggota penguat kuasa di negara terbabit. Ahli sindiket melayan Tong ibarat raja kerana memperoleh laba yang besar hasil kegiatan berkenaan,” katanya.

Sumber sama memberitahu Harian Metro berkata, Tong juga ada 10 orang kanan yang amat dipercayainya.

“Kebanyakan mereka warga Thailand dan segelintir adalah warga Malaysia. Warga Malaysia yang terbabit dengan Tong kebanyakannya sudah ditahan ada juga yang ditembak mati,” katanya.

Menjelaskan lanjut, sumber mendedahkan, harta Tong yang dapat dikesan sepanjang melakukan kegiatan penyeludupan migran berjumlah lebih RM50 juta.

“Itu adalah bentuk aset seperti rumah, hotel dan hartanah yang diketahui. Mungkin asetnya lebih banyak,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 6 April 2019 @ 9:00 AM