PELARIAN Rohingya dan Bangladesh menakung air hujan ketika hujan lebat di kem pelarian di Thailand.
PELARIAN Rohingya dan Bangladesh menakung air hujan ketika hujan lebat di kem pelarian di Thailand.

Naratiwat (Thailand): “Jika sebut saja namanya di Golok semua orang kenal termasuklah polis Malaysia,” kata Zahar, 50-an mendedahkan seorang dalang sindiket penyeludupan manusia yang bermaharajalela di Sungai Golok, di sini.

Zahar yang juga etnik Rohingya berkata, lelaki itu adalah warga Thailand yang mengawal ratusan ejen penyeludupan manusia sama ada warga Thailand mahupun Malaysia.

“Hidupnya kaya raya hasil menjual orang (etnik Rohingya dan warga Bangladesh) bukan satu dua hari dia buat kerja, tetapi sudah berpuluh tahun,” katanya kepada Harian Metro.

Menurut Zahar, kegiatan berkenaan (menyeludup orang) masih berleluasa biarpun kawalan keselamatan di sebelah Malaysia ketat.

“Rangkaian ini bukan saja membabitkan kumpulan kongsi gelap, malah warga Malaysia dan pihak keselamatan kedua-dua negara. Sebab itu semuanya lolos dengan senang,” katanya.

Menurutnya, kegiatan penyeludupan itu bagaimanapun terhenti seketika selepas pihak berkuasa Malaysia menahan lebih 1,000 pelarian yang cuba mendarat di Langkawi, Kedah pada Mei lalu.

Diminta memperincikan susuk tubuh lelaki itu, Zahar berkata, lelaki berusia 40-an itu pendek.

“Badannya gemuk, kulitnya pula seperti kebanyakan rakyat Malaysia biasa,” katanya.

Katanya, dia dan beberapa rakannya di Malaysia sudah beberapa kali membuat laporan polis mengenai kegiatan berkenaan (seludup orang) namun tiada tindakan diambil.

“Bukan sekali dua, dah banyak kali buat laporan, namun lelaki itu masih meneruskan kegiatan,” katanya.

Diminta menceritakan kekejaman dalang itu, Zahar berkata, lelaki terbabit bukan saja merogol wanita etnik Rohingya yang berada dalam tahanannya, malah turut membunuh rakan senegaranya yang lain.

“Rakan ataupun saudara kami diseksa dengan pelbagai cara. Malah, ada antara rakan kami yang tidak mampu melunaskan wang (upah perjalanan) akan dijadikan hamba abdi di Thailand.

“Bukan saja dipaksa bekerja sebagai buruh malah turut dipaksa menjadi nelayan tanpa memberikan upah atau layanan baik. Jika melawan, mereka yang dalam tahanannya akan dibunuh sebelum dibuang ke laut,” katanya.

Zahar berkata, lelaki itu sebenarnya bekerjasama dengan seorang warga Bangladesh di negara itu.

“Mereka sebelum ini melakukannya (seludup orang) dengan seliaan seorang lagi warga Thailand tetapi lelaki itu sudah meninggal. Dalam pengetahuan saya, dalang yang meninggal ini lebih baik, tidak menyeksa tahanan namun mengarahkan tahanan melakukan kerja tertentu sehingga bayaran dapat dibuat sebelum diseludup masuk ke Malaysia,” katanya.

Ditanya wartawan apakah laluan digunakan untuk melakukan penyeludupan itu, Zahar berkata, laluan utama yang digunakan sindiket adalah Sungai Golok.

“Hanya kadangkala menggunakan laluan darat iaitu melalui Kompleks Imigresen Rantau Panjang menggunakan motosikal atau kereta,” katanya.

Menurutnya, dia berharap kerajaan Malaysia terutama Polis Diraja Malaysia (PDRM) komited dalam membanteras kegiatan ini.

Ditanya wartawan adakah wujud perkampungan khas etnik Rohingya di Kota Bharu, Zahar berkata, dalam pengetahuannya tiada.

“Etnik Rohingya yang menetap di Kelantan sebenarnya antara 2,000 hingga 3,500 orang. Kami menyewa kira-kira 100 rumah. Antara kawasannya di Kota Bharu, Pasir Puteh, Pasir Mas, Kuala Krai dan Machang,” katanya.

“Keadaan mula kecoh beberapa tahun ini iaitu sejak 2008...tetapi ia (penyeludupan etnik Rohingya) sebenarnya sudah lama berlaku di kawasan ini.

“Saya yakin dan percaya, jika polis betul-betul membanterasnya dari awal dengan mengetatkan kawalan...sindiket tidak mampu lolos,” katanya.

Tambahnya, jika keadaan reda dan kerajaan junta Myanmar mengiktiraf kewujudan etnik Rohingya di negara asal, hampir 90 peratus yang menjadi pelarian akan pulang ke kampung halaman.

“Populasi etnik Rohingya yang ada adalah lebih 5 juta orang dan bukannya hanya 700,000 hingga 800,000 seperti diuar-uarkan kerajaan Myanmar. Sehingga kini kami (etnik Rohingya) menjadi pelarian di seluruh dunia seperti Arab Saudi (lebih sejuta), Pakistan (800,000), Malaysia (40,000), Thailand (10,000), Bangladesh (ratusan ribu) dan lain-lain negara,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 12 Jun 2015 @ 10:20 AM