ANTARA warga Rohingya yang seludup masuk ke Malaysia. -Foto fail
ANTARA warga Rohingya yang seludup masuk ke Malaysia. -Foto fail
Skuad Khas Harian Metro

“SAYA rayu kepada mereka yang ingin datang ke Malaysia melalui ejen sama ada dari Bangladesh atau pun Myanmar, hentikan. Ini kerana, mereka berisiko ditipu, dirogol atau dibunuh kerana apa yang ejen mahukan adalah wang.

“Kepada saudara kami yang menjadi tali barut, hentikanlah. Satu hari nanti, perkara sama akan berlaku kepada sanak-saudara kamu. Isu menyeludup masuk pelarian ini, bukan perkara baru malah sudah lebih 20 tahun. Biarlah mereka tinggal saja di kawasan dibenarkan di sana daripada menjadi mangsa termasuk dihumban ke laut,” kata Pengarah Global Rohingya Council (GRC) Reazul Haq Mufti Abdul Mannan.

Menurutnya, tiga negara tumpuan utama sindiket ialah Malaysia, Indonesia dan Thailand menjadikan pelarian begitu teruja untuk meneruskan kelangsungan hidup selain ada yang dijanjikan pekerjaan dan tempat tinggal sempurna dengan bayaran tertentu.

Katanya, dia sendiri memaklumkan kepada keluarga dan sanak-saudara yang kini berada di Cox’s Bazar di Bangladesh supaya jangan mempertaruhkan nyawa semata-mata untuk datang ke Malaysia kerana jika tersalah langkah nyawa boleh melayang.

REAZUL HAQ MUFTI ABDUL MANNAN
REAZUL HAQ MUFTI ABDUL MANNAN

“Daripada apa yang dimaklumkan memang sindiket ini mendapat kadar upah untuk menyeludup mereka ini di Malaysia dan dua negara jiran lain antara RM8,000 dan RM16,000 seorang, menyebabkan mereka ‘kelabu mata’ dengan tawaran itu.

“Ada juga yang mengubah caj mengikut suka hati mereka ketika dalam perjalanan menuju ke sini. Akibatnya, mereka yang gagal membayar akan dipukul, wanita diperkosa dan ada yang dibiarkan kelaparan sementara menunggu duit daripada keluarga,” katanya ketika dihubungi semalam.

Beliau mengulas laporan eksklusif akhbar ini sejak Khamis lalu membongkar kegiatan penyeludupan pelarian Rohingya ke negara bersama Bahagian Anti Pemerdagangan Orang dan Penyeludupan Migran (D7C) Bukit Aman yang menahan lapan warga Myanmar berusia antara 30-an hingga 40-an termasuk seorang penjaga dalam ‘pintasan’ dilakukan di sebuah kilang perabot ditinggalkan di Napoh, Jitra, Kedah.

Siasatan mendapati semua mereka memasuki negara ini melalui lorong tikus di sekitar Wang Kelian.

Reazul Haq berkata, dia juga yakin akan ada banyak lagi kapal membawa pelarian ke sekitar perairan Malaysia dan Thailand ekoran keputusan pihak berkuasa Bangladesh mahu menghantar pulang etnik Rohinya ke Arakan, Myanmar.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 3 Mac 2019 @ 6:02 AM