LEBIH 170,000 pelarian   melarikan diri dari Myanmar dan Bangladesh menaiki kapal laut melalui sempadan Thailand-Malaysia
LEBIH 170,000 pelarian melarikan diri dari Myanmar dan Bangladesh menaiki kapal laut melalui sempadan Thailand-Malaysia
Mohd Firdaus Ibrahim dan Hidayatul Akmal Ahmad


SERAMAI 170,000 pelarian etnik Rohingya dan warga Bangladesh diseludup sindiket penyeludupan migran ke Malaysia dari 2012 hingga 2015 membabitkan urus niaga haram antara AS$50 juta (RM174.5 juta) hingga AS$100 juta (RM349 juta) setahun.

Statistik itu didedahkan dalam laporan bertajuk Sold Like Fish setebal 121 muka surat yang dikeluarkan Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (SUHAKAM) bersama pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Fortify Rights.

Menurut laporan berkenaan, sindiket itu mengenakan bayaran lebih AS$2,000 (RM6,800) kepada setiap pelarian sebelum mereka dibebaskan.

Lebih 170,000 pelarian Muslim Rohingya dan Bangladesh melarikan diri dari Myanmar dan Bangladesh menaiki kapal laut melalui sempadan Thailand-Malaysia.

Akibat terdesak dan mahu keluar dari penganiayaan, pelarian yang terdiri daripada lelaki, wanita dan kanak-kanak dijanjikan perlindungan di Malaysia dengan bayaran AS$2,000.

Laporan itu juga mendedahkan, sindiket menahan pelarian dalam kapal penyeludupan manusia di sempadan Malaysia-Thailand sebelum menawarkan tiga pilihan.

ANTARA gambar pelarian  yang dirakam dalam laporan Sold Like Fish  yang dikeluarkan SUHAKAM.
ANTARA gambar pelarian yang dirakam dalam laporan Sold Like Fish yang dikeluarkan SUHAKAM.

Beli pembebasan mereka (membayar RM6,800), dijual untuk dieksploitasi ataupun mati.

Laporan itu juga menyebut bahawa Suhakam dan Fortify Rights menemui asas kukuh untuk mempercayai sindiket pemerdagangan melakukan jenayah kemanusiaan di Malaysia sepanjang tempoh berkenaan.

Dalam perkembangan sama, Sold Like Fish turut mendokumentasikan bagaimana pihak berkuasa Malaysia yang didakwa memusnahkan kem penempatan sementara berpusat di Wang Kelian, Perlis, sehari selepas ia ditemui, sekali gus berkemungkinan menghilangkan bukti yang mungkin boleh membantu siasatan polis.

Katanya, laporan berkenaan dibuat berdasarkan penyiasatan bertahun-tahun, merangkumi 270 temu bual dengan saksi, mangsa terselamat, dalang pedagang manusia, pegawai kerajaan dan lain-lain antara 2013 sehingga 2019.

Ia mendokumentasi jenayah pemerdagangan manusia terhadap pelarian wanita, lelaki dan kanak-kanak Rohingya di lautan selain kem pemerdagangan manusia di sempadan Malaysia-Thailand.

Laporan berkenaan akan membantu Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) ditubuhkan kerajaan untuk menyiasat sindiket pemerdagangan manusia dan penemuan kubur di Wang Kelian, Perlis pada 2015 yang dipercayai membabitkan mayat mangsa pemerdagangan dari Rohingya dan Bangladesh.

Seorang pelarian, Mohammed Kasem, 26, yang berjaya melarikan diri dari Perbandaran Maungdaw Myanmar di Rakhine State pada Februari 2014 berkata, suasana dalam kapal berkenaan dipenuhi dengan lautan manusia.

Terdapat seorang Rohingya di atas bot dan tiga orang lain, yang bercakap bahasa Thailand.

“Kami tidak dibenarkan bercakap dan bergerak. Mereka menyediakan makanan sehari sekali sahaja. Terdapat beberapa ruang di atas kapal tetapi kami tidak boleh baring kerana terlalu ramai manusia,” katanya dalam laporan berkenaan.

Abdul Haman, 17, melalui pengalaman sama berkata, ia adalah bot sederhana dengan dek terbuka.

“Tiada makanan yang cukup di atas kapal dan orang menjadi hampir lumpuh. Selepas tiga hari di atas kapal, penyeludup manusia (Thailand) memberi kami sedikit nasi. Kadang-kadang, mereka memberi kami kentang. Mereka akan memukul orang yang bercakap. Kru kapal warga Thailand boleh pergi ke mana sahaja di dalam bot.

“Mereka membawa pisau panjang. Jika seseorang berkata “tolong saya lapar atau “bolehkah saya mendapatkan air, pasti akan dipukul,” katanya.

Pada 2015, negara dikejutkan dengan penemuan 139 kubur dan 28 kem pemerdagangan manusia yang ditinggalkan di puncak Bukit Wang Kelian yang terletak di sempadan Malaysia-Thailand.

Pada 27 Januari lalu, kerajaan bersetuju menubuhkan RCI bagi menyiasat isu pemerdagangan manusia dan kubur di kawasan berbukit Wang Kelian.

INFOGRAFIK
INFOGRAFIK

KRONOLOGI KES KEM PEMERDAGANGAN MANUSIA DI WANG KELIAN, PERLIS

1 Mei 2015

•Polis Thailand menemui 32 kubur besar di Bukit Khao Rup Chang terletak berhampiran kawasan sempadan Malaysia yang mengandungi mayat etnik Rohingya dan warga Bangladesh.

25 Mei 2015

• PDRM umum penemuan kubur di Bukit Wang Burma, Wang Kelian, Perlis yang juga kem penempatan migran dikawal sindiket.

• PDRM umum penemuan 139 mayat etnik Rohingya dan Bangladesh di Bukit Wang Burma, Wang Kelian sebelum operasi menggali dilakukan.

28 Mei 2015

• Timbalan Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar umum penahanan dua anggota polis berkaitan penemuan kem pemerdagangan manusia di kawasan berkenaan.

1 Jun 2015

• PDRM bawa rangka mayat dihantar ke Hospital Sultanah Bahiyah Alor Setar untuk pemeriksaan lanjut oleh pakar patologi.

9 September 2015

• Jenazah mangsa pemerdagangan manusia disemadikan di Tanah Perkuburan Islam Lama Kampung Tualang, Pokok Sena.

20 Disember 2017

• Laporan eksklusif NST mendedahkan ada cubaan menutup isu berkaitan sindiket pemerdagangan migran di Bukit Wang Burma Wang Kelian kerana PDRM memusnahkan kem sehari selepas penemuannya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 6 April 2019 @ 10:00 AM