BANJIR menyebabkan penduduk  Kampung Lachang menggunakan perahu sebagai pengangkutan utama bagi memudahkan pergerakan mereka.
BANJIR menyebabkan penduduk Kampung Lachang menggunakan perahu sebagai pengangkutan utama bagi memudahkan pergerakan mereka.
Nor Fazlina Abdul Rahim dan Hazira Ahmad Zaidi


Rantau Panjang: Jalan ditenggelami air bukan masalah besar buat penduduk di kawasan rendah di pekan ini kerana masing-masing mempunyai perahu yang menjadi pengangkutan utama ketika musim tengkujuh.

Bencana itu yang berlaku setiap tahun memaksa setiap rumah terutama berhampiran tebing Sungai Golok mempunyai perahu untuk memudahkan mereka keluar masuk dan berpindah sekiranya perlu.

Perahu juga penting untuk mereka ke kedai membeli keperluan asas terutama stok makanan sepanjang tempoh banjir mahupun jika berlaku kecemasan.

Penduduk, Mustafa Sulaiman, 55, dari Kampung Lachang berkata, dia membeli perahu sejak beberapa tahun lalu yang memberi manfaat besar kepada keluarganya ketika musim banjir.

 HUSIN Awang (tengah) duduk di anjung rumahnya  di Kampung Siram setelah kawasan kediamannya dinaiki air.
HUSIN Awang (tengah) duduk di anjung rumahnya di Kampung Siram setelah kawasan kediamannya dinaiki air.

Malah, ada ketikanya perahu itu turut digunakan membawa anggota bomba untuk meninjau banjir di sekitar kampung seperti dilakukan semalam.

“Saya mempunyai sembilan anak dan semestinya pergerakan kami sukar sekiranya berlaku banjir. Walaupun jalan terputus, sekurang-kurangnya kami masih boleh bergerak dengan perahu.

“Sejak tiga hari lalu, perahu inilah yang menjadi pengangkutan utama kami sekeluarga dan setiap kali banjir, ia seolah-olah pesta perahu memandangkan hampir setiap keluarga mempunyai kemudahan ini.

“Hujan lebat sejak beberapa hari lalu menyebabkan paras air di hadapan rumah kami mencecah sehingga dua meter dan hampir setiap hari kami keluar ke bandar menggunakan perahu untuk membeli keperluan harian,” katanya ketika ditemui.

Mustafa yang tidak dapat bekerja kerana banjir menggunakan kesempatan itu untuk menjala ikan bagi mencari pendapatan tambahan.

Dia juga mengaku menerima nasihat pasukan keselamatan untuk berpindah ke pusat pemindahan sementara di Sekolah Rendah Agama (Arab) Diniah Kampung Bongor, namun masih belum berbuat demikian.

“Paras air masih terkawal dan belum merasakan perlu berpindah,” katanya.

Sementara itu, jirannya Wan Mohammad Wan Abdullah, 26, berkata dia menggunakan perahunya untuk meninjau paras air sungai bagi memudahkannya melakukan persiapan.

Katanya, dia akan membawa ibu bapanya bersama meninjau keadaan selain menyediakan keperluan bersesuaian.

“Ketika inilah kita boleh gunakan perahu dan alhamdulillah setakat ini keperluan kami penduduk di sini tidak pernah terputus,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 18 Disember 2018 @ 8:01 AM