Siti Rohana Idris


Tanah Merah: Lebih 5,000 penduduk beberapa kampung di daerah ini terputus hubungan sejak kelmarin, berikutan laluan utama terputus akibat hujan lebat dan limpahan air Sungai Kelantan.

Malah laluan yang menghubungkan Kampung Jerangau ke lebih lima kampung berhampiran turut dinaiki air sejauh kira-kira tiga kilometer (km) dan ada sesetengah lokasi, kedalaman airnya mencecah lebih dua meter.

Penghulu Mukim Tebing Tinggi Mohd Rafik Omar Din berkata, kampung yang terputus hubungan antaranya ialah Kampung Hutan Lanjut, Chekok Ipoh, Banggol Nering dan Kepat dengan jumlah penduduk lebih 5,000.

"Keadaan semakin teruk sehingga ke Kusial Lama yang mana paras air melebihi dua meter. Sebahagian besar penduduk juga sudah berpindah ke pusat pemindahan sementara (PPS) yang dibuka sejak dua hari lalu," katanya ditemui di sini, hari ini.

Mohd Rafik berkata, bagi penduduk yang tidak berpindah, pergerakan rutin harian terhad dan mereka hanya keluar daripada rumah sekiranya ada urusan penting malah perlu menggunakan bot atau perahu.

KEADAAN paras air Sungai Kusial di Taman Kota Harmoni, di sini yang mengalami sedikit peningkatan. FOTO Siti Rohana Idris
KEADAAN paras air Sungai Kusial di Taman Kota Harmoni, di sini yang mengalami sedikit peningkatan. FOTO Siti Rohana Idris

Tinjauan di Kampung Jerangau mendapati, sebahagian besar kediaman penduduk sudah dinaiki air dan paras air semakin meningkat sejak pagi tadi.

Tinjauan turut dibuat di tepi Sungai Kelantan di Taman Kota Harmoni di sini, malah orang ramai turut bertali arus ke lokasi itu untuk melihat peningkatan air selain merakam gambar kenangan.

Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tanah Merah Penolong Penguasa Bomba Mohd Rafain Mat Zin berkata, kebanyakan kawasan yang dilanda banjir mengalami paras air statik namun di beberapa lokasi, limpahan air masih berlaku namun dalam kadar perlahan.

Beliau berkata, penduduk sudah diberi arahan agar berpindah sekiranya kenaikan paras air masih berlaku dan mengambil langkah awal menyediakan segala persediaan sementara menunggu bantuan tiba.

"Penduduk dinasihati supaya menjaga keselamatan masing-masing.

"Saya juga menasihati orang ramai yang datang ke mana-mana lokasi untuk meninjau banjir dan perubahan aras sungai supaya tidak leka," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 7 January 2021 @ 3:12 PM