SUNGAI Golok yang melimpah di Kampung Gergaji, Rantau Panjang, pagi ini. FOTO Syaherah Mustafa
SUNGAI Golok yang melimpah di Kampung Gergaji, Rantau Panjang, pagi ini. FOTO Syaherah Mustafa
Syaherah Mustafa


SUNGAI Golok di Rantau Panjang melebihi paras bahaya dengan bacaan 9.17 meter, setakat 11 pagi akibat hujan berterusan sejak tiga hari lalu.

Paras bahaya sungai berkenaan adalah 9 meter, manakala paras normal, 5 meter.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Rantau Panjang, Penolong Penguasa Bomba Mohd Adni Ibrahim berkata, paras sungai tidak menentu menyebabkan pihaknya bersiap sedia lebih awal bagi menghadapi sebarang kemungkinan.

"Kita sudah bersiap sedia dan melakukan tinjauan dari semasa ke semasa. Beberapa kawasan rendah berdekatan tebing sudah dinaiki air disebabkan limpahan Sungai Golok.

"Namun jika paras sungai melebihi 10.4 meter, maka penduduk perlu berpindah ke tempat lebih selamat," katanya ketika ditemui, hari ini.

Tinjauan mendapati, laluan keluar masuk utama ke pekan Rantau Panjang masih boleh dilalui dan tiada pusat pemindahan yang dibuka setakat ini.

Aktiviti perniagaan juga masih berjalan seperti biasa.

Dalam pada itu, penduduk di Kampung Cabang Tiga, Rantau Panjang, Nik Rodi Nik Soh, 41, berkata, dia sudah mula melakukan persiapan termasuk memastikan perahu dibelinya di Tak Bai, Thailand dalam keadaan baik.

NIK Rodi Nik Soh, 41, membuang air yang bertakung di dalam botnya dibantu anak-anak, selain memastikan keadaannya baik untuk kegunaan ketika banjir. FOTO Syaherah Mustafa
NIK Rodi Nik Soh, 41, membuang air yang bertakung di dalam botnya dibantu anak-anak, selain memastikan keadaannya baik untuk kegunaan ketika banjir. FOTO Syaherah Mustafa

"Pengalaman menghadapi banjir pada 2014, menyebabkan saya serik dan kini bersiap sedia lebih awal termasuk membeli perahu berharga RM2,500 ini untuk kegunaan keluarga dan penduduk kampung.

"Dulu, tiada pengangkutan dapat kami gunakan, kini dengan perahu ini dapat memuatkan sehingga 15 orang. Saya beli selepas banjir 2014," katanya yang memberitahu rumahnya boleh dinaiki air sehingga dua meter disebabkan dekat dengan Sungai Golok.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 14 January 2018 @ 12:27 PM