Syaherah Mustafa


Rantau Panjang: Sebanyak 58 rumah di Kampung Terusan, di sini, dinaiki air banjir separas 0.5 sehingga satu meter susulan hujan lebat.

Kampung berkenaan yang terletak di kawasan rendah biasa menjadi lokasi terawal banjir setiap kali musim tengkujuh berlaku di daerah Pasir Mas.

Tinjauan mendapati kebanyakan penduduk sudah mula menjadikan perahu sebagai pengangkutan utama untuk meredah air ke jalan utama selain terdapat deretan kereta yang diparkir di sepanjang jalan bagi mengelak ditenggelami banjir.

Penduduk, Syed Zainal Abidin Syed Mamat, 61, berkata kediaman mereka sudah digenangi air sejak beberapa hari lalu dan paras semakin meningkat menandakan banjir gelombang pertama sudah tiba.

"Kami sudah biasa dengan situasi ini malah hampir setiap tahun terpaksa menempuhi fenomena banjir. Jadi, rata-rata penduduk sudah mengambil langkah awal dengan mengemas rumah serta menyimpan dokumen penting di tempat selamat.

"Boleh dikatakan majoriti penduduk di sini mempunyai perahu atau bot sendiri yang digunakan setiap kali musim tengkujuh. Tidak kira peringkat umur atau jantina, kami sudah biasa mengemudi perahu sendirian.

"Bagaimanapun, kami tetap berhati-hati kerana pelbagai kemungkinan boleh berlaku dalam situasi sebegini selain mahu mengelak daripada berlaku insiden yang tidak diingini," katanya ketika ditemui di Kampung Terusan, di sini, hari ini.

SYED Zainal Abidin menggunakan perahu di halaman rumahnya sebagai pengangkutan utama untuk meredah air di Kampung Terusan, di sini.  FOTO Nik Abdullah Nik Omar.
SYED Zainal Abidin menggunakan perahu di halaman rumahnya sebagai pengangkutan utama untuk meredah air di Kampung Terusan, di sini. FOTO Nik Abdullah Nik Omar.

Tinjauan juga mendapati ada di antara penduduk yang tinggal berdekatan jalan utama membina titi menggunakan kayu dan buluh bagi memudahkan mereka keluar.

Bagi Khadijah Sulaiman, 33, mereka sekeluarga sudah bersedia fizikal dan mental untuk berhadapan dengan banjir kerana ia bagaikan fenomena 'wajib' kampung terbabit pada setiap tahun.

"Penempatan kami adalah yang paling awal menerima banjir dan lambat untuk surut kerana faktor kawasan rendah. Tetapi, saya harapkan bah kali ini biasa sahaja supaya tidak berpindah ke pusat pemindahan sementara (PPS) berdekatan.

"Biasanya penduduk di sini sudah bersedia dengan bekalan makanan dan keperluan lain kerana jika hujan terus turun kami akan terkepung susulan jalan utama ke bandar ditutup akibat dinaiki air," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 18 November 2021 @ 10:45 AM