Syaherah Mustafa


Rantau Panjang: "Cuaca semakin baik tapi air belum surut," kata Zakaria Mohd Noor, 50, penduduk Kampung Bendang Perol di sini, yang dilanda banjir sejak kelmarin.

Menurut Zakaria, selepas semalaman berada di pusat pemindahan sementara (PPS) Sekolah Kebangsaan (SK) Gual To'Deh, dia kembali untuk meninjau keadaan rumahnya semalam namun mendapati tiada sebarang perubahan apabila masih dipenuhi air.

Katanya, rumahnya masih digenangi air setinggi 0.5 sehingga satu meter dan keadaan itu tidak mungkin membolehkan keluarganya pulang.

"Banjir kali ini agak pelik kerana cuaca sudah baik untuk dua hari ini, tetapi air masih pada paras yang tinggi. Saya syak ia susulan projek tebatan banjir yang dijalankan berdekatan penempatan terbabit menyebabkan aliran sungai menjadi perlahan.

"Kampung ini sememangnya lokasi terawal banjir hampir setiap tahun susulan berada di kawasan rendah, jadi sudah biasa dengan keadaan sebegini.

"Setiap empat jam sekali saya mendayung perahu untuk datang melihat keadaan rumah, bimbang pintu yang dikunci terbuka akibat ditolak arus," katanya yang juga bapa kepada lima cahaya mata berusia empat sehingga 21 tahun.

Sebahagian rumah yang masih dinaiki air. FOTO SYAHERAH MUSTAFA
Sebahagian rumah yang masih dinaiki air. FOTO SYAHERAH MUSTAFA

Zakaria berkata, dia berdoa supaya keadaan cuaca yang bertambah baik dan dia sekeluarga dapat kembali ke rumah.

"Saya berdoa banjir tahun ini tidak teruk tetapi sekiranya terpaksa berpindah lagi, kami terpaksa akur demi keselamatan diri dan keluarga," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 20 November 2021 @ 1:14 PM