BENLADIN
BENLADIN
Norhayati Nordin

Sekalipun nama Benladin dikenali dalam bidang lakonan, minatnya terhadap nyanyian tidak pernah pudar.

Apatah lagi, dia mula mengorak langkah dalam indusri seni tanah air pada 2012 dengan menyertai program realiti TV.

Pembabitan dalam program Idola Kecil 5 (IK5) terbitan TV9 adalah percaturan tepat pernah dibuat Benladin.

Benladin yang mesra dengan sapaan Ben ketika ditemui memberitahu dia tidak pernah melupakan bidang nyanyian.

“Beberapa tahun kebelakangan ini rezeki saya lebih dalam lakonan.

“Meski minat menyanyi saya enggan terburu-buru dan tidak sangka selepas lima tahun baru berpeluang hasilkan single.

“Terus terang, kemunculan single Hikayat Benladin ciptaan Malique dan Dedeq ini cukup bermakna,” katanya.

Ben atau nama sebenarnya Muhammad Benladin Munshi Shaihan, 17, berkata dia puas merakamkan single itu.

“Siapa yang tidak mahu berkerjasama dengan komposer berkaliber seperti Malique? Ia peluang keemasan.

“Tidak dinafikan, awalnya ada juga rasa bimbang apabila memikirkan cakap-cakap orang mengenai Malique.

“Namun, apabila sudah kerja bersama dan mengenali dirinya, saya sangat selesa. Malah Malique penggiat seni yang sangat komited.

“Dia sangat bertanggungjawab dengan hasil kerja dan karyanya. Saya bertuah dapat menyanyikan lagu ciptaan Malique,” katanya.

Meminati rap dan hip hop, Ben berkata, genre itu kena dengan vokal dan imejnya.

“Menariknya single Hikayat Benladin ini adalah paparan kisah mengenai diri saya sendiri.

“Tidak mudah bagi saya mencuba nasib sebagai penyanyi. Perjalanannya agak berliku.

“Namun, saya tidak pernah putus asa kerana yakin sampai masa mungkin ada rezeki yang sudah ditetapkan,” katanya.

Sehubungan itu, Ben bersyukur kerana impiannya untuk muncul dengan single solo akhirnya dapat direalisasikan.

Justeru, single Hikayat Benladin sudah dimuat naik ke YouTube sejak 19 Julai lalu.

Baru tiga minggu, video lirik muzik itu masih sohor kini di YouTube dengan mencatat lebih 4.5 juta tontonan.

Menurut Ben, dia berpuas hati dengan sokongan diterima untuk single itu yang turut diputar di stesen radio.

“Apapun, keutamaan saya kini adalah bersedia untuk peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) tidak lama lagi.

“Semoga saya berjaya dalam pelajaran dan karier seni. Kedua-duanya penting buat saya,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 19 Ogos 2018 @ 1:20 AM