KANAK-KANAK perempuan berusia empat tahun maut selepas terjatuh dari tingkat 17, PPR Kota Damansara di sini, pagi tadi. FOTO NSTP
KANAK-KANAK perempuan berusia empat tahun maut selepas terjatuh dari tingkat 17, PPR Kota Damansara di sini, pagi tadi. FOTO NSTP
Nor Azizah Mokhtar


“KALAULAH saya boleh putar masa, saya tak akan tinggalkan adik keseorangan,” demikian kata kakak kepada kanak-kanak perempuan empat tahun yang maut terjatuh dari tingkat 17 PPR Kota Damansara, Petaling Jaya, hari ini.

Siti Nur Natasha Hairul Anuar, 14, berkata, dia sedang berjalan pulang ke rumah selepas menghantar adiknya yang lain ke tadika apabila ada jiran memberitahu bahawa adik bongsunya, Siti Nur Nadhirah Hairul Anuar, 4, terjatuh.

"Pada mulanya, saya sangkakan adik terjatuh ketika bermain dan saya terus bergegas untuk pulang sebelum diberitahu adik sebenarnya jatuh dari tingkat 17.

"Saya terus tergamam kerana tidak sangka adik boleh panjat ke balkoni. Saya rasa macam tak percaya dengan apa yang berlaku," katanya.

Menurut Siti Nur Natasha lagi, adiknya ketika itu sedang tidur di ruang tamu dan sebelum keluar, dia sudah pun menutup pintu ke balkoni.

"Bangku plastik itu juga sepatutnya tidak ada di balkoni,” katanya.

Sementara itu, ibu kanak-kanak terbabit, Rozneen Hashim, 36, berkata, dia reda dan menganggap perkara itu sebagai ketentuan Allah SWT.

"Walaupun pahit, saya terima ini sebagai ketentuan Allah, saya tak mahu salahkan sesiapa.

"Sebahagian daripada diri saya masih terlalu sukar menerimanya, tapi saya reda," katanya.

Dia yang tidak dapat menahan sebak, hanya mampu menganggukkan kepala beberapa kali apabila ditanya mengenai kejadian yang menimpa anak bongsu daripada enam beradik itu.

Rozneen dan suaminya, Hairul Anuar Kusnan, 45, serta lima anak mereka berusia antara lima hingga 15 tahun ditemani kira-kira 20 ahli keluarga berada di Unit Forensik Hospital Sungai Buloh (HSB) bagi proses bedah siasat yang dijalankan 2.30 petang.

Dalam kejadian 7.10 pagi itu, Siti Nur Nadhirah dipercayai tergelincir ketika memanjat kerusi plastik di balkoni rumah yang tidak dipasang jeriji atas.

Ketika kejadian, mangsa dikatakan bersendirian di rumah kerana ibu bapanya keluar sejak 6 pagi untuk berniaga nasi lemak di Bukit Jelutong, Shah Alam, manakala kakak mangsa berusia 14 tahun keluar menghantar seorang adiknya berusia tujuh tahun ke tadika di Blok D PPR berkenaan.

Difahamkan, Siti Nur Nadhirah kebiasaannya akan mengikut Rozneen dan suaminya, berniaga nasi lemak di Shah Alam namun hari ini, mereka tidak membawa kanak-kanak itu bersama mereka.

Jenazah Siti Nur Nadhirah akan disembahyangkan di Masjid Kota Damansara sebelum dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Seksyen 9 Kota Damansara, Petaling Jaya, hari ini.

Berita berkaitan

Tragedi tingkat 17

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 13 September 2018 @ 5:51 PM