MOHD Azhar (kiri) membawa jenazah anaknya sejurus selesai solat jenazah.
MOHD Azhar (kiri) membawa jenazah anaknya sejurus selesai solat jenazah.
Oleh Mohd Rizal Abdullah

Kuala Lumpur: “Saya hanya mampu berdoa apabila melihat keadaan Hazriq makin tenat,” kata Mohd Azhar Mohd Noor selepas anak bongsunya terjatuh dari tingkat enam Projek Perumahan Rakyat (PPR) Seksyen 8, Damansara, di sini, petang semalam.

Dalam kejadian pada jam 3.18 petang itu, Muhammad Hazriq Danish Ain Alden, 5, meninggal dunia akibat parah di kepala dan badan.

Mohd Azhar, 23, berkata, ketika itu, dia sedang berehat manakala arwah bersama abangnya, Mohd
Zulhaikal Alden, 7, bermain di koridor berhadapan kediaman.

“Saya tergamam apabila Mohd Zulhaikal tiba-tiba memberitahu adik terjatuh. Saya sangkakan arwah hanya terjatuh di koridor itu, rupanya ke tingkat bawah,” katanya semasa ditemui selepas selesai urusan pengebumian anak bongsunya itu, malam tadi.

Dia terkedu melihat arwah dalam keadaan terbujur di tingkat bawah dengan keadaan berlumuran darah.

“Saya bergegas ke bawah untuk menyelamatkannya. Ketika itu, arwah masih bernafas walaupun keadaannya amat memilukan,” katanya.

Dia berkata, kejadian berlaku apabila anaknya itu dipercayai tergelincir dari pagar dinding itu yang rosak.

“Terdapat ruang besar di pagar itu yang muat dengan tubuh arwah. Disebabkan itu, arwah terjatuh ke bawah,” kata anggota tentera itu.

Keadaan anaknya semakin tenat dengan nafas semakin perlahan ketika dia menunggu bantuan ambulans.

“Arwah masih bernafas dalam tempoh 20 minit. Kemudian, selepas dibawa ke Hospital Sungai Buluh, arwah disahkan sudah meninggal dunia,” katanya.

Anak bongsu daripada lima beradik itu selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Seksyen 9, Kota Damansara pada jam 8 malam.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 29 January 2015 @ 10:36 AM