PUTERI Sarah (kanan) bersama Syamsul. FOTO Nurul Syazana Rose Razman
PUTERI Sarah (kanan) bersama Syamsul. FOTO Nurul Syazana Rose Razman
Sudirman Mohd Tahir

Selepas empat tahun berkahwin dengan pengarah Syamsul Yusof, pelakon Puteri Sarah semakin selesa tinggal bersama ibu dan bapa mentua.

Sarah, 33, atau nama sebenarnya Puteri Sarah Liyana Megat Kamaruddin berkata, walaupun ramai pasangan memilih tinggal berasingan dengan ibu bapa masing­masing, tetapi tidak bagi Sarah dan Syamsul.

Bagi Sarah, tinggal sebumbung dengan ibu bapa mentua lebih menyenangkan selain dapat mengeratkan ikatan silaturahim.

“Saya gembira tinggal dengan mentua. Malah, jika diberi pilihan pun saya memang nak tinggal bersama mereka atau keluarga sendiri. Mana­mana pun okey.

“Memandangkan Syamsul sibuk dengan kerjaya dan memang perlukan bantuan orang sekeliling. Alhamdulillah, saya dapat mentua yang baik.

“Ketika nak bersalin anak sulung, Syamsul sedang sibuk menjalani penggambaran filem Munafik 2. Mentua dan adik ipar yang bawa saya ke hospital.

Jadi, memang penting sangat hidup berkeluarga ini,” katanya.

Sarah yang kini hamil anak kedua berkata, dia tidak boleh hidup sendirian tanpa ada keluarga di sisi.

Malah, sepanjang empat tahun tinggal bersama keluarga mentua, Sarah mengakui banyak belajar erti kehidupan terutama soal bertolak ansur.

“Pada mulanya saya memang takut, kekok dan malu. Namun, saya fikir balik apabila berkahwin bukan saja dengan suami tetapi seluruh keluarganya.

“Jadi, saya sebagai menantu kena selesakan diri. Pada masa sama, apa yang penting sikap bertolak ansur. Tidak boleh pentingkan diri,” katanya.

Sarah berkata, dia dan suami belum mempunyai sebarang perancangan untuk tinggal di rumah sendiri walaupun sudah memiliki aset terbabit.

“Kami sudah ada rumah sendiri, tetapi belum rasa nak duduk sendiri. Sebabnya, kami sukakan suasana yang meriah. Tambahan pula, sebelum berkahwin saya hidup dalam keluarga yang meriah.

“Apatah lagi, kalau Syamsul sibuk dengan proses suntingan dia memang jarang berada di rumah. Takkan saya nak tinggal seorang kan? Takut kalau terjadi perkara tidak diingini.

“Jika ada mentua, ipar dan biras, boleh minta pertolongan. Macam sekarang hamil anak kedua, kalau saya teringin nak makan apa­apa, biras selalu teman dan bawa kereta. Jadi, saya selesa dengan kehidupan sebegini,” katanya.

Pada masa sama, Sarah menafikan tanggapan segelintir pihak yang mengatakan tinggal bersama mentua terutama berhadapan dengan ibu mentua mewujudkan suasana tidak selesa.

“Ketidakselesaan timbul jika diri sendiri tidak pandai menyesuaikan diri dan menerima perubahan dalam hidup selepas berkahwin.

“Kita tidak boleh mengharapkan layanan mentua sepanjang masa. Sepatutnya, kita kena berbuat baik dan bertanya apa perkara yang boleh dibantu dalam rumah,” katanya.

Ditanya mengenai kerjaya lakonan, Sarah berkata suaminya tidak mengizinkan perkara itu.

“Alasan Syamsul tidak benarkan sebabnya dia pun sibuk dalam kerjaya. Masa bersama memang terhad. Kalau saya pun berlakon dan masing­masing sibuk, memang susah.

“Tambahan sekarang sudah ada anak, jadi ia membataskan. Sebagai isteri, saya perlu mengalah. Ada perkara lain yang lebih utama iaitu keluarga.

“Lagipun, saya selesa dengan kehidupan sekarang. Tidak ada apa yang perlu dirungut. Alhamdulillah, saya boleh menguruskan perniagaan. Syamsul sangat memberikan sokongan,” katanya.

Mengenai perniagaan, Sarah bakal melancarkan produk kosmetik iaitu Matteness by Shara yang akan dijual di pasaraya AEON seluruh Malaysia.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 1 September 2018 @ 5:30 AM