Ridzuan Abdul Rahman


KEIZINAN suami, Syamsul Yusof yang membenarkannya kembali berlakon disambut dengan perasaan gembira oleh Puteri Sarah Liyana.

Selepas enam tahun berehat, Sarah yang pernah membintangi siri TV popular, Puteri bersyukur apabila Syamsul yang juga pengarah filem popular memberikan lampu hijau buatnya meneruskan minat sebelum ini.

"Alhamdulillah, saya aktif semula sejak Oktober lalu sebagai pengacara program fesyen 13 episod iaitu Glam untuk RTM.

"Setiap bulan saya hanya boleh ambil satu tawaran berlakon dan itu syarat yang diletakkan oleh Syamsul. Bermula dari tarikh itu, saya sudah berlakon enam drama dan semuanya adalah telefilem kerana tempoh masa penggambaran hanya sekitar tujuh hari," katanya.

Sarah baharu menghabiskan penggambaran drama berjudul Panggilan Haji yang akan ditayangkan sempena Aidiladha ini di RTM.

PUTERI Sarah bersama suami, Syamsul dan anak, Sumayyah dan Syaikhul Islam.
PUTERI Sarah bersama suami, Syamsul dan anak, Sumayyah dan Syaikhul Islam.

"Penggambaran selesai pada 13 Mac dan pada 18 Mac kita sudah kena patuh pada Perintah Kawalan Pergerakan (PKP). Syukur kerana penggambaran berjaya selesai dan telefilem ini dapat ditayangkan pada malam Aidiladha.

"Saya bawakan watak utama bergandingan dengan Saharul Ridzwan. Ceritanya berkisarkan ibadah haji dan pelbagai konflik lain," katanya.

Menurutnya, dia sentiasa ingat pesan suami supaya tahu menjaga batasan sebagai isteri.

"Saya sentiasa pastikan ikut syarat ditetapkan Syamsul. Apabila dapat tawaran, saya akan tapis terlebih dahulu mengikut kesesuaian dan minta pendapat dia. Ikutkan lakonan saya dalam telefilem sebelum ini, saya banyak bawakan watak heroin.

"Tapi bentuk ceritanya bukanlah kisah remaja. Saya bawa watak sebagai ibu tunggal," katanya.

Sarah mengakui, ketika mula berkahwin, Syamsul memang tidak benarkan dia berlakon.

"Maklumlah ketika itu kami masing-masing belum mengenali. Kami kahwin tanpa bercinta, tapi lama kelamaan kami dapat menyesuaikan diri antara satu sama lain.

"Kami pergi bercuti di luar negara untuk lebih intim dan pastikan setiap Ramadan buat umrah. Kami juga buat keputusan tinggal berasingan daripada keluarga suami kerana mahu berdikari," katanya.

Menurutnya, Syamsul seorang suami yang memahami minatnya dalam lakonan dan mahu melihatnya berdikari.

"Saya memang sudah biasa bekerja sejak belajar di universiti. Saya suka berdikari dan Syamsul pun tak suka tengok isteri duduk rumah.

"Ketika mula-mula kahwin pun, saya bekerja di bahagian pemasaran sebuah butik. Dari situlah, saya tergerak hati nak buka butik dan Syamsul berikan modal. Dia suka saya terbabit dalam perniagaan," katanya.

ADEGAN dalam salah satu drama yang dilakonkannya.
ADEGAN dalam salah satu drama yang dilakonkannya.

Sarah gembira kerana selain berlakon, dia turut mempunyai perniagaan dinamakan Shara Cosmetics dan Shara Skincare yang turut sukses dalam kalangan pengguna.

Ditanya sekiranya dia akan bekerjasama dengan Syamsul dalam drama atau filem, ibu kepada dua cahaya mata, Syaikhul Islam, 3, dan Sumayyah, 1, ini pantas menolak perkara terbabit.

"Kami hanya pernah bergandingan dalam Evolusi KL Drift The Series arahan Syafiq Yusof. Ketika itu kami belum rapat dan sekadar menjalankan tanggungjawab sebagai pelakon.

"Rasanya tak mungkin kami bekerjasama kerana saya takut dan malu dengan Syamsul. Ini sikap saya dan kalau orang lain tak tahulah," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 25 Julai 2020 @ 6:00 AM