ANGGOTA DBKL merampas alat muzik milik buskers OKU.  FOTO NSTP
ANGGOTA DBKL merampas alat muzik milik buskers OKU. FOTO NSTP
Syazwan Msar

Kuala Lumpur: Ratusan notis dan hampir setiap hari peringatan sudah diberikan kepada pemuzik jalanan termasuk orang kelainan upaya (OKU) untuk mematuhi peraturan ditetapkan supaya tidak membuat bising sehingga mengganggu orang ramai terutama penyewa hotel di kawasan tertentu di bandar raya ini.

Pengarah Eksekutif Pembangunan Sosio Ekonomi Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) Datuk Ibrahim Yusoff berkata, dalam situasi tertentu, pihaknya bertindak berdasarkan aduan orang ramai terutama pelancong asing mengenai aktiviti muzik jalanan atau ‘busking’ berhampiran hotel terlalu bising atau mengganggu mereka.

Beliau berkata, pihaknya sedia memberi peluang serta ruang kepada pemuzik jalanan terutama kepada OKU untuk meraih sumber pendapatan tambahan namun perlulah menjaga sensitiviti masyarakat lain.

“Kenapa dikatakan kejam apabila melihat kami merampas barangan seperti drum dan beberapa peralatan lain dan terus menghukum.

“Hakikatnya DBKL yang memberikan permit kepada mereka selain menyediakan kelas atau program supaya aktiviti seumpama menarik lebih ramai untuk menyertainya seterusnya pemuzik jalanan dapat raih sumber pendapatan sampingan.

“Cuma patuhilah peraturan yang ditetapkan iaitu jangan bermain alatan muzik seperti dram atau gunakan pembesar suara yang boleh mengganggu orang lain,” katanya ketika dihubungi, semalam.

Sebelum ini, viral di media sosial apabila video berdurasi lapan minit memaparkan beberapa anggota penguat kuasa DBKL termasuk seorang wanita menyita barangan pemuzik jalanan atau ‘buskers’ OKU hingga mengundang rasa tidak puas hati orang ramai.

Tindakan itu juga dikecam kerana dikatakan tidak memberi peluang kepada pemuzik jalanan terutama OKU untuk meraih sumber pendapatan sampingan dengan menghiburkan orang ramai.

Ibrahim berkata, pihaknya menyediakan banyak peluang kepada pemuzik jalanan untuk menonjolkan bakat masing-masing malah menganjurkan program khusus kepada mereka untuk menghiburkan orang ramai di Bukit Bintang dan Jalan Tuanku Abdul Rahman, di sini.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 21 Ogos 2018 @ 9:42 AM