Mas Ermieyati  (tengah) bersama Wady (tiga kiri) dan Setiausaha Bahagian Perlesenan Kementerian Perlancongan dan Kebudayaan, Yahati Awang (tiga kanan) beramah mesra dengan penerima anugerah khas seniman jalanan Aznan Aziz (dua kiri), Norasrul Hanif Abdul Wahab (kanan), Meor Yusof Izzudin (kiri) dan Roslee Yusop (dua kanan) selepas menyampaikan anugerah khas seniman jalanan di Majlis Malam Penghargaan Seniman Jalanan. FOTO Mohd Yusni Ariffin

Intan Mas Ayu Shahimi

Subang Jaya: Penghibur jalanan atau 'buskers' di negara ini perlu berusaha keras menimba ilmu sekiranya mahu tampil profesional.

Timbalan Menteri Pelancongan dan Kebudayaan, Datuk Mas Ermieyati Samsudin berkata, kerajaan sentiasa komited untuk membantu membuka ruang sebaik mungkin bagi membolehkan golongan ‘buskers’ terus berkarya di lokasi yang difikirkan wajar.

"Kita tahu bahawa fenomena ‘busking’ (persembahan jalanan) hari ini menjadi antara aktiviti yang mampu menyemarakkan sektor pelancongan negara.

"Malah, persembahan sebegini membuktikan bahawa rakyat Malaysia sangat kreatif dalam berkarya, terutama menyanyi dan bermain alat muzik secara langsung," katanya ketika merasmikan Malam Penghargaan Seniman Jalanan di sini, malam tadi.

Majlis julung kali itu adalah simbolik kepada fasa transformasi penghibur jalanan sejak tiga tahun lalu.

Tujuh anugerah diperkenal dan disampaikan kepada individu serta kumpulan yang menyumbang kepada transformasi cemerlang penghibur jalanan.

Antara yang diangkat sebagai penerima anugerah adalah Presiden Kelab Penghibur Jalanan Malaysia, Wady Hamdan (Anugerah Emas 2016) dan Kumpulan Caliph Buskers (Anugerah Prestasi Cemerlang).

Jelas Mas Ermieyati, beliau melihat aktiviti ‘busking’ bukan saja dapat membentuk generasi belia secara positif, tapi membuka peluang menjana pendapatan menerusi karya, sekaligus menjadi satu kerjaya.

"Saya yakin dan percaya, kerjaya sebagai ‘buskers’ juga mampu membina kehidupan yang baik jika hasil pendapatan diurus dengan bijak.

"Justeru, rebutlah segala peluang yang ada dalam mencipta kejayaan, bersainglah secara sihat dan bekerjasama antara satu sama lain.

"Terus tampil dengan kepelbagaian kreativiti sebagai warna persembahan yang eksklusif dan menghiburkan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 25 Mei 2016 @ 11:34 PM