SEORANG remaja lelaki, Nik Muhammad Asyraf Fahmi Nik Rokman, 18 yang baru berkahwin lima bulan lalu didakwa di Mahkamah Sesyen atas pertuduhan mencabul kanak-kanak berusia 12 tahun di Taman Perumahan Desa Kemumin, Pengkalan Chepa. FOTO/ZAMAN HURI ISA
SEORANG remaja lelaki, Nik Muhammad Asyraf Fahmi Nik Rokman, 18 yang baru berkahwin lima bulan lalu didakwa di Mahkamah Sesyen atas pertuduhan mencabul kanak-kanak berusia 12 tahun di Taman Perumahan Desa Kemumin, Pengkalan Chepa. FOTO/ZAMAN HURI ISA
Nor Fazlina Abdul Rahim

REMAJA lelaki didakwa di Mahkamah Sesyen Kota Bharu, hari ini atas pertuduhan mencabul kanak-kanak berusia 12 tahun di Pengkalan Chepa pada 20 April lalu.

Tertuduh berusia 18 tahun yang baru berkahwin lima bulan lalu, mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Ahmad Bazli Bahruddin.

Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa mencabul mangsa perempuan berusia 12 tahun dua bulan antara 8.30 malam pada 20 April lalu.

Tertuduh yang bekerja sebagai pembantu kedai didakwa melakukan kesalahan mengikut Seksyen 14(a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 dan sabit kesalahan boleh dipenjara tidak melebihi 20 tahun dan sebat.

Pendakwaan dilakukan Timbalan Pendakwa Raya, Siti Hajar Alias dan tertuduh diwakili peguam, Alias Ibrahim.

Terdahulu, Siti Hajar tidak mencadangkan jaminan kerana menyifatkan kes berkenaan serius selain mangsa dalam kes itu baharu berusia 12 tahun.

“Jika dibenarkan jaminan, ia perlu dikenakan jaminan tinggi bagi memastikan kehadiran tertuduh di mahkamah,” katanya.

Alias pula memohon jaminan ditawarkan memandangkan tertuduh baharu berkahwin lima bulan lalu dan mempunyai empat adik yang perlu ditanggung.

Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM15,000 dengan seorang penjamin dan tertuduh perlu melapor diri di balai polis setiap bulan.

Tertuduh kemudian membayar jaminan itu.

Mahkamah turut menetapkan sebutan semula kes pada 13 Ogos depan

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 30 Julai 2018 @ 2:08 PM