Alias Abd Rani

Muar: Juruteknik tidak mengaku salah di Mahkamah Sesyen di sini, hari ini atas dua pertuduhan mencabul kehormatan anak tirinya tahun lalu dan awal tahun ini.

Tertuduh berusia 32 tahun membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibaca jurubahasa mahkamah di hadapan Hakim Abu Bakar Manat.

Mengikut pertuduhan pertama, dia didakwa mencabul anak tiri perempuan yang ketika itu berusia 13 tahun di sebuah rumah di Kluang, dekat sini pada jam 9.30 malam, Mei 2022.

Tertuduh sekali lagi didakwa mengulangi perbuatan itu terhadap mangsa dengan kejadian juga berlaku di tempat sama pada jam 10 malam, Januari 2023.

Bagi pertuduhan pertama, dia didakwa melakukan kesalahan mengikut Seksyen 14 (a) manakala pertuduhan kedua, Seksyen 14 (b) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017.

Kedua-dua kesalahan itu boleh dihukum mengikut Seksyen 14 dan dibaca bersama Seksyen 16 (1) akta sama yang boleh dipenjara sehingga 20 tahun dan sebatan serta penjara lima tahun dan sebatan tidak kurang dua kali bagi tambahan Seksyen 16 (1), untuk setiap pertuduhan dikenakan.

TERTUDUH (dua kanan) dibawa keluar dari Mahkamah Sesyen. FOTO Alias Abd Rani
TERTUDUH (dua kanan) dibawa keluar dari Mahkamah Sesyen. FOTO Alias Abd Rani

Mengikut fakta kes, mangsa menceritakan perkara itu kepada bapa kandungnya yang menetap di Mersing bahawa dia telah dicabul tertuduh ketika berada di rumah ibunya.

Susulan itu, satu laporan dibuat di Balai Polis Mersing pada jam 3.30 pagi, 17 Ogos lalu. Kes itu kemudian dirujuk ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kluang dan satu tangkapan dibuat terhadap tertuduh pada keesokan hari.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Muhammad Arif Marzuki manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Terdahulu, pihak pendakwaan menawarkan jaminan sebanyak RM20,000 dengan mengambil kira kes seumpama ini yang semakin serius.

Bagaimanapun, selepas mendengar rayuan tertuduh serta pihak pendakwaan, mahkamah menetapkan jaminan sebanyak RM12,000 dengan seorang penjamin.

Pada masa sama, mahkamah juga mengenakan syarat tambahan dengan tertuduh perlu melapor diri di IPD Kluang setiap bulan serta tidak dibenarkan berhubung atau mengganggu mangsa.

Mahkamah kemudian menetapkan 26 September depan untuk sebutan kes, serahan dokumen serta lantikan peguam oleh tertuduh.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 21 Ogos 2023 @ 1:37 PM