MD Kalam dihadap ke Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan merogol kanak-kanak berusia 12 tahun lapan bulan, minggu lalu. FOTO Nik Abdullah Nik Omar
MD Kalam dihadap ke Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan merogol kanak-kanak berusia 12 tahun lapan bulan, minggu lalu. FOTO Nik Abdullah Nik Omar
Nor Fazlina Abdul Rahim


Kota Bharu: Buruh binaan warga Bangladesh didakwa di Mahkamah Sesyen di sini, hari ini atas pertuduhan merogol kanak-kanak berusia 12 tahun, minggu lalu.

Tertuduh, Md Kalam Molla, 32, bagaimanapun tidak mengaku bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Ahmad Bazli Bahruddin.

Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa merogol seorang kanak-kanak perempuan yang ketika itu berusia 12 tahun lapan bulan.

Kesalahan itu dilakukan di sebuah rumah di Kampung Terusan Limbat, Kubang Kerian di sini jam 2 pagi pada 20 Mac lalu.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 376(1) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan sebat jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Abu Arsalnaa Zainal Abidin, manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Terdahulu, Abu Arsalnaa tidak menawarkan jaminan kerana bimbang tertuduh yang juga warga asing melarikan diri.

Md Kalam pula menerusi rayuannya memohon mahkamah memberikan jaminan bagi kesalahan terbabit.

Mahkamah bagaimanapun tidak membenarkan tertuduh diikat jamin dan menetapkan 10 Mei depan sebagai tarikh sebutan semula dan serahan laporan perubatan mangsa.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 29 Mac 2022 @ 12:25 PM