HOTEL yang menjadi tumpuan rakyat Malaysia berhibur kini semakin sepi. FOTO Syamsi Suhaimi
HOTEL yang menjadi tumpuan rakyat Malaysia berhibur kini semakin sepi. FOTO Syamsi Suhaimi
Sharifah Mahsinah Abdullah

Sungai Golok (Selatan Thailand): Bandar Sungai Golok yang menjadi tumpuan lelaki rakyat Malaysia berhibur sejak berdekad lalu kini semakin sepi sejak dua tahun lalu akibat ketidaktentuan ekonomi negara.

Kini bandar itu menjadi seperti pekan hantu dan sebahagian besar aktiviti maksiat dipercayai berpindah ke Danok berhampiran Bukit Kayu Hitam, Kedah, selepas tidak mendapat sambutan daripada rakyat Malaysia khususnya orang Kelantan.

Sebelum ini, lelaki hidung belang yang ‘dahagakan’ hiburan sanggup menyeberang Sungai Golok yang cetek melalui ‘jalan haram’ semata-mata mendapatkan ‘perkhidmatan’ yang ditawarkan seperti pelacuran dan khidmat mengurut oleh gadis Thailand.

Tinjauan di pekan Sungai Golok, mendapati tidak ramai pengunjung Malaysia menginap di hotel yang sebelum ini menjadi tumpuan atau mengunjungi kelab malam malah beberapa premis hiburan ditutup.

Beberapa kawasan atau lorong biasanya tempat maksiat termasuk pelacuran kelihatan sunyi.

Peniaga di pekan itu, Osman Jailani, 40, berkata, aktiviti pelacuran dan maksiat di Pekan Sungai Golok mula berkurangan sejak dua tahun lalu apabila keadaan ekonomi tidak menentu.

“Sejak 1990, pekan ini menarik ribuan pengunjung termasuk dari Malaysia kerana menawarkan pelbagai hiburan dan apa saja perkhidmatan diperlukan lelaki Malaysia.

“Rakyat Malaysia daripada golongan tua hingga ke belia, sanggup menyeberangi sungai pada hujung minggu dan ada antara mereka sanggup bermalam di sini.

“Pengusaha pusat hiburan termasuk hotel dan kelab malam turut menyediakan gadis Thai untuk menemani rakyat Malaysia di sini. Semua kegiatan ini berlarutan selama beberapa tahun tetapi sejak dua tahun lalu, perniagaan mereka semakin merosot kerana tiada sambutan daripada pengunjung Malaysia,” kata bapa kepada empat anak itu.

Osman yang berasal dari daerah ini berkata, situasi sedemikian memaksa ramai pengusaha pusat hiburan gulung tikar dan ada yang berpindah ke Danok kira-kira empat jam perjalanan menaiki kereta dari pekan ini.

“Pengusaha Thailand terpaksa tutup perniagaan disebabkan ramai rakyat Malaysia tidak mengunjungi pekan ini. Mereka enggan menyeberangi ke sini lagi kerana masalah kewangan,” katanya.

SUASANA pekan Sungai Golok yang sunyi terutama di tempat yang dulunya terkenal dengan pusat hiburan. FOTO Syamsi Suhaimi
SUASANA pekan Sungai Golok yang sunyi terutama di tempat yang dulunya terkenal dengan pusat hiburan. FOTO Syamsi Suhaimi

Penduduk tempatan Habeesoh Che Soah, 48, berkata, penduduk Sungai Golok terutama umat Islam di sini amat gembira atas tindakan sesetengah pengusaha pusat hiburan yang berpindah ke Danok.

“Aktiviti sedemikian mengganggu keamanan tempat ini kerana ada juga pengunjung terbabit dalam pergaduhan dan ada juga yang membunuh sesama mereka,” katanya.

Sementara itu, Miss Chida, 24, yang bekerja sebagai tukang urut, berkata, dia dan beberapa kawan sudah lama berpindah ke Danok di Songkhla sejak tahun lalu.

“Sebelum ini, kami bekerja di hotel terkenal di sini, tetapi kerana semakin berkurangnya pelanggan Malaysia, kami tiada pilihan lain dan terpaksa berpindah ke Danok.

“Kami terpaksa meneruskan kerja ini yang menjadi sumber pendapatan utama kami sejak bertahun lalu,” katanya ketika ditemui di sebuah hotel di sini.

Miss Chida sebelum ini antara 50 tukang urut di beberapa hotel dan kelab malam di pekan Sungai Golok.

Bagaimanapun, jumlah mereka sekarang berkurangan kepada antara 20 atau 30 orang kerana permintaan sedikit dari rakyat Malaysia.

Sementara itu, Ketua Polis Sungai Golok Kolonel Polis Prayut Phongsanti berkata, polis tetap meneruskan pemeriksaan keselamatan di pekan ini walaupun aktiviti maksiat semakin berkurangan.

“Pihak polis terus memantau keadaan bagi mengelakkan kejadian tidak diingini seperti serangan bom dan jenayah lain,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 22 Julai 2018 @ 4:14 AM