HOTEL Alexis.
HOTEL Alexis.
Agensi

Jakarta: Berikutan kejayaan merobohkan kawasan maksiat Kalijodo kelmarin, pentadbiran Jakarta Utara kini merancang mengambil tindakan serupa terhadap Hotel Alexis yang dipercayai menjadi tempat hiburan golongan dewasa.

Hotel itu yang digelar ‘Syurga Untuk Lelaki’ dalam laman web rasminya, terletak di kawasan Ancol, Jakarta Utara.

Datuk Bandar Jakarta Utara, Rustam Effendi berkata, walaupun hotel itu mempunyai lesen operasi dan hiburan, pihak berkuasa tidak pernah mengeluarkan permit untuk kegiatan pelacuran di mana-mana premis di Jakarta.

Rustam memberitahu, dia akan menyelaras dengan polis dan Pejabat Pelancongan dan Kebudayaan Jakarta untuk menyiasat aktiviti di Hotel Alexis sebelum tindakan diambil.

“Jika terbukti ada kegiatan pelacuran di hotel berkenaan, kami akan bertindak,” kata datuk bandar itu.

Kelmarin, pihak berkuasa meneruskan rancangan merobohkan semua bangunan di Kalijodo, kawasan maksiat tertua di Jakarta.

Semua 300 bangunan dimusnahkan, termasuk sebuah masjid dan gereja yang terletak di lorong kawasan itu, tanpa sebarang tentangan.

Selain Hotel Alexis dan beberapa tempat hiburan lain, pentadbiran Jakarta Utara juga merancang mengambil tindakan serupa di Rawa Malang di daerah Cilincing, yang turut disyaki menjadi kawasan pelacuran. - Agensi

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 2 Mac 2016 @ 7:14 AM