KEADAAN pekan Betong yang sepi berikutan ketiadaan pelancong Malaysia sejak hampir dua tahun lalu.
KEADAAN pekan Betong yang sepi berikutan ketiadaan pelancong Malaysia sejak hampir dua tahun lalu.
Mohd Jamilul Anbia Md Denin dan Hajar Umira Md Zaki


Kuala Lumpur: "Tanpa kehadiran pelancongan Malaysia sejak hampir dua tahun lalu, industri pelancongan di selatan Thailand boleh dianggap 'mati'. Lokasi dahulunya meriah bertukar menjadi bandar atau pekan 'hantu'," ujar rakyat Malaysia, Abdul Halim Othman, 54.

Menurutnya, ekonomi kebanyakan bandar di selatan Thailand yang bergantung kepada kedatangan pelancong dari Malaysia lumpuh susulan pandemik Covid-19 melanda rantau ini.

Dia yang mengusahakan kedai barangan cenderamata Betong Road 410 di pekan Bentong, Thailand mengakui impak besar dirasai sektor pelancongan negara Gajah Putih itu selepas pintu sempadan ditutup sepenuhnya sejak Mac tahun lalu.

"Dahulu ribuan rakyat Malaysia melintas sempadan dan membanjiri bandar di selatan Thailand setiap hujung minggu. Ada yang datang melalui rombongan diatur agensi pelancongan termasuk kehadiran puluhan konvoi motosikal dan pelancong backpackers dari Malaysia.

"Paling merasai kesannya pengusaha hotel dan resort, restoran makanan Islam, peniaga berasaskan produk kraftangan pelancongan, pemandu teksi tuk-tuk (kenderaan beroda tiga), peniaga pakaian, pemilik bar dan karaoke selain pusat-pusat refleksologi," katanya.

Dia berkata, kebanyakan bandar di selatan Thailand seperti Hatyai, Songkhla, Phuket, Satun, Padang Besar, Sadao termasuk Betong bertukar menjadi sepi.

"Kebanyakannya bandar ini 'hidup' kerana kedatangan pelancong Malaysia. Pendapatan golongan peniaga ini merosot teruk," katanya.

Menurutnya, kerajaan Thailand melaksanakan perintah berkurung dan langkah pencegahan seperti penutupan premis dan perniagaan antaranya hiburan, pawagam, taman awam, zoo, muzium dan klinik kecantikan.

Abdul Halim berkata, dia bernasib naik produk cenderamata dan kemeja-T dihasilkan turut mendapat sambutan daripada pelancong Thailand.

"Sebelum Covid-19 melanda, kedai saya wajib dikunjungi pelancong Malaysia. Namun saya bersyukur produk dihasilkan masih dibeli pelancong tempatan selain ditempah melalui online," katanya.

Menurutnya, penutupan sempadan turut memberi kesan kepada ahli perniagaan Malaysia yang membuka restoran dan hotel di sana.

"Saya memulakan perniagaan sebagai ejen pelancongan sejak 2015 sebelum mengembangkan perniagaan kedai cenderamata di sini. Prospek pelancongan di sini amat cerah berikutan majoriti penduduknya beragama Islam.

"Malah, Betong ada beberapa tarikan pelancongan terkemuka seperti Aiyerweng Skywalk, Terowong Piyamit, Kolam Air Panas Betong dan peti surat terbesar di dunia ," katanya.

ABDUL Halim (tengah) gigih berniaga kedai cenderamata di Betong walaupun pintu sempadan ditutup kepada pelancong Malaysia.
ABDUL Halim (tengah) gigih berniaga kedai cenderamata di Betong walaupun pintu sempadan ditutup kepada pelancong Malaysia.

Sementara itu, pemilik agensi pelancongan di Krabi, Muslim Krabi Travel, Salma Nidey, 29, berkata, dia terpaksa menutup agensinya di Thailand buat sementara waktu berikutan ketiadaan pelancong Malaysia.

"Malah, saya rehatkan pekerja kerana tiada pelancong untuk dibawa," katanya.

"Sebelum ini Timbalan Presiden Persatuan Pelancongan dan Perdagangan Halal Thai-Asean, Rachen Attamart memaklumkan lebih 90 peratus hotel di Songkhla terpaksa tutup sementara berikutan ketiadaan pelancong asing. Difahamkan pemain industri pelancongan di wilayah Songkhla sudah mengadakan pertemuan dengan Konsul Jeneral Malaysia Muhammad Ridzuan Abu Yazid berhubung pembukaan Pekan Danok di sempadan Thailand-Malaysia kepada pengunjung dari Malaysia pada 23 September lalu.

"Pengerusi Majlis Pelancongan Songkhla Sompol Chiwawattanapong mencadangkan pembukaan Pekan Danok khas kepada pengunjung dari Malaysia yang lengkap dua dos vaksin di bawah inisiatif Danok Sandbox," katanya.

Danok Sandbox adalah projek perintis membuka semula pekan atau bandar di sempadan kepada pelancong dan pengunjung asing, dengan pengunjung perlu menjalani ujian RT-PCR dalam tempoh 72 jam sebelum tiba di Pekan Danok.

Pengunjung hanya boleh bergerak dalam lingkungan 2.7 kilometer dari sempadan dan hanya boleh tinggal di hotel terpilih di bawah Safety and Health Administration (SHA).

KEADAAN di bandar Pattaya yang sepi dari kehadiran pelancong hingga mendapat jolokan bandar hantu.
KEADAAN di bandar Pattaya yang sepi dari kehadiran pelancong hingga mendapat jolokan bandar hantu.

Tiada lagi 'dosa' di Betong

Betong: "Terima kasih Covid-19. Tiada lagi aktiviti maksiat tarian bogel atau rumah pelacuran sejak pintu sempadan Malaysia-Thailand ditutup tahun lalu. Semua mereka (pekerja seks) sudah lari ke utara (Bangkok)," ujar pekerja sebuah hotel di Betong, Thailand, Esmael Imron, 38.

Dia antara masyarakat Islam tempatan di selatan Thailand yang mengakui aktiviti maksiat adalah antara tarikan utama pelancong lelaki Malaysia ke negara jiran itu sejak sekian lama.

Menurutnya, ada puluhan ribu pekerja seks membabitkan wanita dan golongan pondan di bandar utama di selatan Thailand sebelum wabak Covid-19 melanda.

"Golongan ladyboy (pondan), pelayan pub, penari bogel dan pelacur jalanan bebas ditemui di sini. Orang Malaysia (pelancong) datang dan menghabiskan banyak duit bersuka-ria di sini.

"Semuanya ada di Thailand kerana ia dibenarkan (aktiviti maksiat). Walaupun kegiatan pelacuran di Thailand berdepan hukuman penjara sehingga dua tahun atau denda berjumlah 40,000 baht (RM5,184) namun peraturan itu jarang dilaksanakan.

"Kini semua pekerja seks dan pemilik kelab bogel sukar cari makan," katanya yang fasih berbahasa Melayu.

Dia yang dihubungi wartawan menggunakan aplikasi WhatsApp mendakwa kebanyakan pub, pusat karaoke, pusat urut dan refleksologi, pusat tarian bogel dan rumah pelacuran ditutup berikutan ketiadaan pelanggan dari Malaysia termasuk arahan dari kerajaan Thailand.

"Kami penduduk Islam memang gembira. Tiada lagi dosa di bandar ini. Malah, kerajaan sendiri mengarahkan aktiviti karaoke dan rumah urut ditutup susulan wabak Covid-19.

"Apa yang saya tahu, mereka (pekerja seks) meminta pampasan 5,000 baht (RM648) sebulan selepas tempat kerja mereka ditutup," katanya.

Sementara itu menurutnya, kerajaan wilayah Songkhla, Thailand bercadang mahu membuka sempadannya di Malaysia untuk menjana kembali ekonomi kawasan Sadao.

Menurutnya, sektor ekonomi Sadao terjejas teruk berikutan ekonomi kawasan itu bergantung kepada pelancongan dan 90 peratus darinya adalah pelancong Malaysia.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 3 Oktober 2021 @ 8:01 AM