LIMA ahli keluarga Nur Ghaziyah Athirah yang terkorban dalam kemalangan dengan bas ekspres, Disember tahun lalu.
LIMA ahli keluarga Nur Ghaziyah Athirah yang terkorban dalam kemalangan dengan bas ekspres, Disember tahun lalu.
Mohamed Farid Noh


“SETIAP kali menatap wajah Azi, pasti mengalir air mata kami suami isteri kerana terkenang anak lelaki, menantu dan tiga cucu yang terkorban dalam nahas jalan raya di Segamat, Disember tahun lalu, " kata Dzulkirnain Yusoh, 57.

Dzulkirnain dan isterinya, Zaitun Othman, 51, kini menjaga satu-satunya cucu, Nur Ghaziyah Athirah Muhamad Abu Dujanah, 4, yang terselamat dalam kemalangan mengorbankan lima ahli keluarganya.

Lebih memilukan, Nur Ghaziyah Athirah yang dipanggil Azi masih hilang ingatan sejak enam bulan lalu berikutan kecederaan parah di otak.

“Beginilah keadaan Azi, dia tidak kenal dan cam kami sebagai datuk dan neneknya walaupun dia amat mesra dengan kami sejak kecil.

“Lebih sedih, Azi langsung tidak boleh bercakap seperti sebelum kejadian, malah seakan menderita strok dengan tidak memberi sebarang tindak balas termasuk menangis.

“Namun berkat rawatan fisioterapi setiap minggu di Hospital Enche Besar Hajjah Kalsom, Kluang, tangan dan kakinya kini boleh digerakkan sedikit.

“Azi sudah boleh disuap bubur yang dikisar halus seminggu sebelum Aidilfitri lalu, berbanding sebelum ini yang hanya boleh minum susu,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Mengkibol, Kluang, semalam.

ZAITUN (kiri) dan Dzulkirnain (dua dari kanan) bersama ahli keluarga mereka melihat Nur Ghaziyah Athirah yang terlantar akibat kemalangan meragut lima ahli keluarganya, ketika ditemui di Kampung Mengkibol, Kluang, semalam. FOTO Adi Safri.
ZAITUN (kiri) dan Dzulkirnain (dua dari kanan) bersama ahli keluarga mereka melihat Nur Ghaziyah Athirah yang terlantar akibat kemalangan meragut lima ahli keluarganya, ketika ditemui di Kampung Mengkibol, Kluang, semalam. FOTO Adi Safri.

Dalam kejadian pada 6 petang 12 Disember lalu, kenderaan dinaiki Nur Ghaziyah Athirah dan lima ahli keluarganya merempuh bas ekspres dari arah bertentangan di Kilometer 176 berhampiran Kampung Melayu Raya, Segamat.

Kemalangan itu mengorbankan bapa dan ibu Nur Ghaziyah Athirah, Muhamad Abu Dujanah Dzulkirnain, 30, dan Zinnirah Abdul Hamid, 28.

Turut maut, kakaknya, Nur Magfirah, 6; abang, Muhammad Abu Ajwad, 4, dan adik, Nur Alia Humairah, tiga bulan.

Dzulkirnain berkata, isterinya patah jiwa sehingga hampir tidak dapat menyediakan juadah Aidilfitri termasuk lodeh yang juga kegemaran arwah Muhamad Abu Dujanah iaitu anak kedua mereka.

“Muhamad Abu Dujanah memang gemar makan masakan ibunya terutama lodeh dan kuih semperit dan akan bersungguh-sungguh setiap kali raya.

“Namun kini, kami suami isteri hanya dapat mengubat serta menghilangkan rindu terhadap anak, menantu dan tiga cucu dengan menyayangi Azi sepenuh hati,” katanya.

Menurutnya, mereka sekeluarga yakin Azi akan pulih dan membesar seperti kanak-kanak normal berikutan umurnya yang masih muda walaupun kecederaan otaknya memerlukan masa lama untuk dirawat.

Berita berkaitan

[UPDATE] 'Sudah ada suara rengekan'

'Nur Ghaziyah hilang ingatan'

'Nur Ghaziyah Athirah kritikal'

'Semoga Nur Ghaziyah cepat pulih'

''Aku takut tak sempat didik anak...''

'Doakan Nur Ghaziyah Athirah cepat sembuh'

'[UPDATE] Doakan adik Nur Ghaziyah Athirah'

'Dapat tahu kehilangan adik melalui FB'

'Ya Allah, ampunilah, rahmatilah mereka...'

'Lima sekeluarga ajal bersama'

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 23 Jun 2018 @ 1:01 AM