Ahli keluarga dan saudara melihat jenazah Allahyarham Zinnirah dan anak bongsunya, Nur Alia Humairah, tiga bulan yang terbabit dalam kemalangan maut di kediaman keluarga di Kampung Mengkibol, Kluang. FOTO Hairul Anuar Rahim
Ahli keluarga dan saudara melihat jenazah Allahyarham Zinnirah dan anak bongsunya, Nur Alia Humairah, tiga bulan yang terbabit dalam kemalangan maut di kediaman keluarga di Kampung Mengkibol, Kluang. FOTO Hairul Anuar Rahim
Mohamad Fahd Rahmat


ZINNIRAH Abdul Hamid, 28, yang terbunuh dalam kemalangan di Kilometer 176 Jalan Johor Bahru - Seremban berhampiran persimpangan Melayu Raya, Segamat, Johor, 6 petang semalam, meluahkan kebimbangan mengenai kedatangan ajalnya 12 hari lalu.

Melalui status ditulis Zinnirah di Facebook miliknya pada 30 November lalu itu, Allahyarham menyatakan kebimbangan itu apabila dirinya yang semakin berusia.

“Bila anak-anak semakin membesar, aku sedar umur aku pun semakin meningkat, kematian bila-bila saja akan menjemput aku, aku jadi takut,” katanya.

Melalui akaun Zinn Erah, Allahyarham meluahkan kebimbangannya jika tidak sempat mendidik anak-anaknya menjadi manusia yang berguna pada agama dan masyarakat.

Namun takdir Allah, bukan saja dia dan suami, Muhamad Abu Dujanah Dzulkrinain, 30, terbunuh malah anak kedua mereka, Muhammad Abu Ajwad, 4, juga meninggal dunia di tempat kejadian.

Anak sulung pasangan itu, Nur Maghfirah, 6, disahkan meninggal dunia di Hospital Segamat manakala anak bongsu, Nur Alia Humairah, tiga bulan, disahkan meninggal dunia ketika mendapatkan rawatan di hospital sama.

Anak ketiga pasangan berkenaan, Nur Ghaziyah Athirah, 3, masih dalam keadaan kritikal dan sudah dipindahkan ke Hospital Sultanah Aminah (HSA) Johor Bahru untuk mendapatkan rawatan susulan.

Ketua Polis Daerah Segamat Superintendan Raub Selamat dilaporkan berkata, siasatan mendapati ketika kejadian permukaan jalan basah disebabkan hujan lebat di lokasi yang juga kawasan berselekoh dan menuruni bukit.

Mereka sekeluarga maut apabila Perodua Viva dinaiki hilang kawalan lalu terbabas ke laluan bertentangan dan bertembung bas ekspres di Kilometer 176 Jalan Johor Bahru - Seremban berhampiran persimpangan Kampung Melayu Raya, Segamat.

Dalam pada itu, adik perempuan Allahyarham Muhamad Abu Dujanah berkata, Shuwaizatul Aslamiyah, 25, berkata, abangnya itu yang juga anak kedua daripada 11 beradik disifatkan seorang yang suka bergaul mesra dengan adik beradik.

Jenazah lima beranak itu dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Haji Manan Kluang selepas Zohor.

Berita berkaitan

Dapat tahu kehilangan adik melalui FB

Ya Allah, ampunilah, rahmatilah mereka...

Lima sekeluarga ajal bersama

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 13 Disember 2017 @ 3:31 PM