NUR Ghaziyah Athirah selamat menjalani pembedahan malam ini.
NUR Ghaziyah Athirah selamat menjalani pembedahan malam ini.
Ibrahim Isa


NUR Ghaziyah Athirah Muhamad Abu Dujanah, 3, kanak-kanak yang terselamat dalam kemalangan meragut nyawa lima beranak di Kilometer 176 Jalan Johor Bahru - Seremban berhampiran persimpangan Melayu Raya, Segamat, Johor, 6 petang semalam, selamat menjalani pembedahan di Hospital Sultanah Aminah (HSA), Johor Bahru, Johor, malam ini.

Nur Ghaziyah Athirah yang tiba di HSA kira-kira jam 6 petang tadi, terus menjalani pembedahan kecemasan oleh sepasukan doktor pakar.

Sumber berkata, selepas bertarung nyawa selama dua jam 40 minit di dewan bedah, Nur Ghaziyah Athirah kini dalam keadaan stabil dan dipantau di Unit Rawatan Rapi (ICU) kanak-kanak HSA.

"Sebaik tiba di HSA jam 6 petang, Nur Ghaziyah Athirah terus dibawa ke dewan bedah sebelum pembedahan tamat pada 8.40 malam tadi.

"Alhamdulillah, keadaannya stabil, saya tidak boleh bincangkan jenis pembedahan dijalankan namun marilah kita bersama-sama mendoakan Nur Ghaziyah Athirah cepat sembuh," katanya ketika dihubungi malam ini.

Terdahulu, datuknya, Dzulkirnain Yusoh, 55, ketika ditemui di Tanah Perkuburan Islam Haji Manan, Kluang, tengah hari tadi berkata,cucunya itu mengalami pendarahan otak, patah pinggul dan kedua-dua kakinya selain mengalami pendarahan dalaman dan memerlukan pembedahan.

“€œSaya sedih sangat atas apa yang berlaku tetapi kita reda dan berserah kepada tuhan," katanya.

Nur Ghaziyah Athirah, bersama bapa, Muhamad Abu Dujanah Dzulkrinain, 30; ibunya, Zinnirah Abdul Hamid, 28; kakak, Nur Maghfirah, 6; abang, Muhammad Abu Ajwad, 4 dan adik, Nur Alia Humairah, tiga bulan, dalam perjalanan pulang dari Muadzam Shah, Pahang ke Kluang ketika kejadian.

Malangnya, Perodua Viva yang dipandu bapanya hilang kawalan lalu berpusing dan terbabas ke laluan bertentangan sebelum bertembung bas ekspres menyebabkan ibu, bapa dan abangnya meninggal dunia di tempat kejadian manakala kakak dan adiknya meninggal dunia di Hospital Segamat akibat kecederaan parah.

Berita berkaitan

'Aku takut tak sempat didik anak...'

Berita berkaitan

Dapat tahu kehilangan adik melalui FB

Ya Allah, ampunilah, rahmatilah mereka...

Lima sekeluarga ajal bersama

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 13 Disember 2017 @ 11:32 PM