SYUHADA tunggu kemunculan single terbaru pertaruh genre balada.
SYUHADA tunggu kemunculan single terbaru pertaruh genre balada.
HM Digital

Ketika rakan seangkatan dalam Idola Kecil musim pertama seperti Haqiem Rusli sudah berjaya menempa nama dan popular, tuah itu belum berpihak buat penyanyi Syuhada Md Amin, 22.

Pernah juga dikenali dengan panggilan Wada, Syuhada dilihat masih terkial-kial mencari peluang untuk menyakinkan peminat terhadap bakat nyanyiannya.

Apatah lagi, gelaran juara Idola Kecil yang disandangnya pada 2008 itu secara tidak langsung menjadi pemangkin semangat untuknya supaya terus berusaha dan tidak sesekali mudah mengalah.

Ditemui pada sesi fotografi bersamanya baru-baru ini, Syuhada berkata, dia tidak nafikan ada kalanya tak mampu mengelak perasaan sedih apabila memikirkan kesukaran dilalui.

“Mengapa agak sukar untuk saya membina nama dan dikenali. Saya minat menyanyi dan yakin memiliki bakat itu, tetapi bukan mudah nak mengecap popular.

“Selepas single kedua, Bukan Dia berjaya membuatkan nama saya dikenali seketika terus terang perasaan ketika itu sangat gembira. Saya dapat rasakan ada sinar untuk karier nyanyian ini.

“Namun, apa yang disangkakan meleset apabila taruhan saya untuk single Tak Kena ciptaan DJ Fuzz dan masih mengekalkan genre pop reggae seperti lagu Bukan Dia tidak menjadi,” katanya.

Ditanya sama ada dia cemburu melihat rakan satu syarikat rakamannya, SRC iaitu Wani Kayrie kini lebih menyerlah, Syuhada berkata, dia melihatnya sebagai rezeki buat penyanyi lagu Jangan Jangan dan Aku Suka Kamu itu.

“Saya tidak sedikit pun cemburukan kejayaan dan populariti dimiliki Wani kerana dia layak memperolehnya. Apatah lagi, Wani mendapat lagu yang tepat dan sesuai dengan vokalnya.

“Untuk saya pula, kena teruskan usaha dan mencuba. Malah, mungkin juga belum tiba rezeki saya untuk menempa nama dan popular seperti rakan penyanyi yang lain. Bagi saya, tak perlu iri hati dengan kejayaan orang,” katanya.

Anak bongsu ini berkata, dia kini teruja untuk muncul dengan single terbaru yang bergenre balada ciptaan Omar K dan lirik oleh Ikhwan Fatanna tidak lama lagi.

“Saya menunggu kemunculan single terbaru ini kerana mempertaruhkan genre balada. Semoga percubaan baru ini menjadi dan jauh di sudut hati pun saya sukakan lagu ini. Ia sesuai dengan vokal saya,” katanya.

Selain Idola Kecil di TV9, Syuhada atau nama sebenarnya Wan Syuhada Md Amin juga pernah menyertai pertandingan D’Academy Asia (DAA) yang berlangsung di Jakarta, dua tahun lalu. - Norhayati Nordin

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 21 Jun 2018 @ 8:38 AM